17 Disember 2010

Gantung Kami Jalankan Tugas MP Tidak Sah, Kata Karpal

PETALING JAYA 17 DIS : Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh berkata penggantungan empat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk beliau yang diputuskan semalam adalah tidak sah.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, usul yang diluluskan itu melarang beliau dan tiga Ahli Parlimen lain daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Beliau menegaskan, Parlimen hanya boleh menggantung daripada menghadiri sidang Parlimen, bukannya menggantung tugas sebagai Ahli Parlimen.

“Kami digantung daripada menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen. Tugas kami tidak terhad di Parlimen sahaja.

“Ini akan jadi perkara utama. Ini adalah satu pencabulan hak kami sebagai Ahli Parlimen yang mana telah termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal, R. Sivarasa (Subang) dan Azmin Ali (Gombak) daripada tugas sebagai Ahli Parlimen selama enam bulan.

Dalam usul itu, jelas mengatakan Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen manakala Anwar digantung tugas dari jawatan Ahli Parlimen selama enam bulan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu digantung ekoran dakwaan beliau mengenai isu berkaitan APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia.

Sementara Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung kerana melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa jua sebelum panel itu membentangkan laporannya.

“Dalam negara kita Parlimen bukan yang paling tinggi, Perlembagaan yang paling tinggi. Keputusan yang dibuat Parlimen mesti berdasarkan Perlembagaan.

“Ketika saya digantung pada 1994 kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, ayat yang digunakan sangat jelas, digantung daripada perkhidmatan di dalam Dewan,” kata Karpal.

Karpal turut berkata, Pakatan Rakyat sudah membuat keputusan untuk menyaman Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau juga mengaitkan penggantungannya dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir yang mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Sebagai contoh, dalam kes Zamri keputusan boleh dicabar. Selagi kita yakin, kes ini akan dibawa ke mahkamah dan kita serius tentang perkara ini,” katanya.

Karpal juga berkata, Pakatan Rakyat akan membawa kes itu ke mahkamah dalam masa terdekat.

“Hujung minggu ini saya akan sediakan dokumen-dokumen, kita akan bawa kes ini dalam masa terdekat,” katanya.

Pada sidang media itu, Anwar yang juga Penasihat PKR menimbulkan persoalan kenapa APCO Worldwide yang mempunyai kaitan dengan Israel tidak boleh “disentuh.”

“Siapa APCO ini? Dewa kayangankah sampai tidak boleh disentuh? Mengapa APCO ini dianggap begitu berkuasa?

“APCO kata mereka badan profesional bebas tapi kenapa terlibat dalam kempen politik Malaysia? Kita minta APCO hentikan kempen politik ini.

“Sebab APCO, Ahli Parlimen digantung tanpa ikut peraturan,” katanya.-TheMalaysianInsider

Tiada ulasan: