17 Disember 2010

HIJRAH DAN KECINTAAN KEPADA TANAHAIR

11 Muharam 1432H
Oleh: Dr Azman Ibrahim

Ketika melangkah meninggalkan bumi Mekah tercinta dalam peristiwa hijrah, Nabi s.a.w bersabda; "Wahai bumi Mekah, engkaulah bumi yang aku cintai dan dicintai Allah. Kalau tidak kerana pendudukmu menghalauku keluar, nescaya aku tidak akan meninggalkanmu.

" Suatu sabda yang mengambarkan kecintaan Rasulullah kepada tanah tumpah darah tempat dilahirkan dan dibesarkan serta di sinilah panji-panji syiar Islam mula dikibarkan. Walaupun kecintaan kepada tanahair adalah fitrah manusia tetapi kerana tuntutan perjuangan Islam yang lebih besar, maka Islam menjadi galang ganti dengan segalanya walaupun terpaksa mengorbankan perkara yang paling dicintai.

Imam As syahid hassan Al Banna ada menyatakan, kecintaan kepada tanahair adalah sebahagian dari agama. Seorang Muslim dituntut untuk berbakti dan mempertahankan tanahair dari sebarang pencerobohan. Sekiranya bumi ummat Islam dicerobohi, seruan jihad wajib diistiharkan, kita dijanjikan ganjaran syahid di jalan Allah.

Sejarah yang benar telah mencatatkan, perjuangan menentang penjajah kuffar yang menguasai bumi ummat Islam dipelopori oleh mujahid-mujahid Islam yang berani di medan juang. Perang untuk membebaskan Terusan Suez diterajui di saf hadapan oleh sukarelawan perang Ikhwanul Muslimin.

Gerila Ikhwanul Muslimin inilah yang mencetuskan masalah besar kepada pasukan penjajah Inggeris. Sangat menghairankan tentera penjajah kerana apabila diperiksa mayat-mayat syuhada' yang gugur, kesemua mereka terkena tembakan dari bahagaian hadapan. Tentunya tidak ada dalam kamus perjuangan mereka, berpaling belakang, lari dari medan perang.

Ketika pendudukan penjajah Francis di Algeria, kebangkitan rakyat Algeria mengusir penjajah di kepalai oleh seorang ulama' Syeikh Abdul Qadir Al Jazairi. Walaupun harga yang mahal terpaksa dibayar dengan jutaan syuhada' telah gugur tetapi penjajah Francis berjaya dihalau. Malangnya setelah penjajah dihalau, golongan sekular menerajui pemerintahan, walaupun mereka bukanlah pejuang.

Penjajah Itali di bumi ummat Islam Libya ditentang atas nama jihad oleh pejuang-pejuang yang dipimpin oleh Syeikh Umar Mukhtar yang digelar singa padang pasir. Keberaniannya memimpin pasukan yang serba kekurangan berhadapan dengan angkatan tentera Itali serba lengkap tidak mampu dibohongi oleh sesiapa. Jihadnya diterima Allah. Syeikh Umar Mukhtar syahid ditali gantung setelah didapati bersalah kerana menentang penjajah Itali.

Di Indonesia, Ummat Islam bangkit juga atas nama jihad fisabilillah, bersenjatakan buluh runcing, dengan penuh keberanian berhadapan penjajah Belanda. Sayangnya, apabila negara berjaya dibebaskan, Islam tidak memerintah, tetapi seorang sekular seperti Soekarno menerajui negara.

Di tanahair kita, kenapa insan-insan pejuang seperti Haji Abdul Rahman Limbung, Tok janggut, Mat Kilau,Tok Gajah, Rosli Dhoby dan ramai lagi dilabel sebagai pemberontak? Penjajah Inggeris melabelkan mereka sebagai pemberontak dan pengacau keamanan, malang sekali bila penulis-penulis sejarah kita juga menulis dengan nada yang sama. Anak cucu kita perlu disedarkan semula bahawa mereka ini adalah pejuang-pejuang yang bangkit atas nama Islam menentang penjajah kuffar yang menjarah bumi ummat Islam.

Sir Henry Gurney, yang jelas adalah seorang Yahudi yang berperanan besar dalam penubuhan negara haramYahudi di Palestin pula diagung-agungkan seolah-olah dialah wira dalam menentang pengganas komunis. hakikat yang disembunyikan, dia adalah salah seorang yang tangannya berlumuran dengan darah ummat Islam palestin.

Seorang muslim dituntut untuk melakukan yang terbaik buat tanahairnya. Ini adalah tuntutan aqidah yang kita anuti. Haram kita menjadi pengkhianat. Kalau ada parti yang berjuang demi bangsa dan agama, PAS tentunya lebih hebat dan syumul kerana Islam menjadi dasar perjuangan kita. Islam dengan sendirinya akan melindungi bangsa dan negara. Selagi PAS berpegang dengan dasar Islam, mustahil PAS akan mengkhianati negara.
Website: www.drazmanibrahim.com

Tiada ulasan: