23 Disember 2010

Loji nuklear: S'gor tanya PM hasil kajian menyeluruh

17 Muharam 1432H

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengulangi pendiriannya membantah projek tenaga nuklear yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan pusat kerana ia akan mengakibatkan bencana ekonomi dan alam sekitar.

Dalam satu kenyataan hari ini, sekretariat akhbar kerajaan negeri itu juga mendakwa perdana menteri "kurang jujur kepada rakyat mengenai rancangan nuklear itu".

"Beliau berjanji dalam blognya awal tahun ini, bahawa satu kajian menyeluruh akan dijalankan sebelum projek nuklear ini diteruskan. Teknologi hijau seperti tenaga angin, suria dan biomass sepatutnya dikaji bersama.

"Dimanakah kajian tersebut? Lebih membimbangkan lagi, kini projek nuklear Najib ini digandakan menjadi dua stesen penjanakuasa nuclear setelah dimasukkan ke dalam Rancangan Transformasi Ekonomi (ETP) beliau," kata sekretariat itu.

"Apakah alasan untuk keputusan ini? Siapakah yang akan untung? Rakyat berhak mendapat jawapan," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, sekretariat tersebut menyeru Najib supaya menerbitkan kajian menyeluruh yang kononnya dijalankan, ataupun memberi penjelasan mengapa kajian tidak pernah dibuat.

Ia juga penjelasan mengenai di mana sumber RM21.3 bilion untuk dua stesen penjanakuasa nuklear tersebut.
Menurut sekretariat itu, ketika mula-mula dicadang pada Oktober 2008, kerajaan Pakatan Selangor menyuarakan bantahan terhadap tenaga nuklear di negeri ini.

"Kami ingin menyatakan pendirian kami sekali lagi. Tiada rakyat Malaysia yang perlu didedahkan kepada bahaya sebegini. Bukan sahaja di Selangor, tetapi seluruh Semenanjung. Sabah dan Sarawak.

"Kami mendesak negara Malaysia kekal sebagai Zon Bebas Nuklear," tambahnya.

Kini, kata sekretariat itu lagi, sudah jelas perdana menteri berhasrat memaksa rakyat Malaysia menerima projek tenaga nuklearnya.

"Sepertimana projek Empangan Bakun diteruskan walaupun ditolak oleh rakyat, pendirian Najib membuktikan cara angkuh BN masih tidak berubah.

"Kedua-dua projek tersebut juga mempunyai persamaan yang lain, iaitu mengakibatkan bencana ekonomi dan alam sekitar di Malaysia," kata sekretariat itu lagi.

Ia mendakwa BN tidak boleh diharap untuk mengurus dengan selamat teknologi sebahaya ini.

Malangnya, tambah sekretariat itu, Menteri Tenaga Datuk Seri Peter Chin hanya mengumumkan "lebih kempen perhubungan awam untuk memperdayakan rakyat."

"Ini bukan pentadbiran yang bertanggungjawab dan telus. Pentadbiran Najib tidak ada rancangan jangka panjang yang selamat untuk membuang sisa-sisa nuklear yang toksik.

"Sebenarnya, tiada negara di dunia yang ada penyelesaian kepada masalah ini. Negeri manakah di Malaysia yang akan dijadikan tapak pembuangan sisa-sisa nuklear?

"Kerajaan negeri Selangor akan berjuang untuk melindungi negeri dan rakyat kami dari sisa-sisa nuklear," katanya lagi.

Menurut sekretariat itu lagi, isu-isu keselamatan negara dan kedamaian antarabangsa juga perlu dipertimbangkan.

"Perlindungan stesen penjanakuasa nuklear ini dari unsur-unsur pengganas tidak pernah dibangunkan oleh pihak BN. Bolehkah kita menghalangkan bahan nuklear dari dicuri dan dijual apabila enjin kapal terbang kita pernah dicuri sebelum dijumpai di Uruguay?

"Negara Malaysia bakal menjadi pengeluar panel solar ketiga besar di dunia. Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baru telah dibaca di Parlimen
baru-baru ini.

"Macam manakah projek yang berisiko tinggi ini dipertimbangkan sedangkan kita mempunyai pilihan yang lain?" tambahnya.

Menurutnya, menyelesaikan masalah tenaga Malaysia bukan sekadar membina stesen penjanakuasa dan "ini hanya menguntungkan pemilik stesen-stesen tersebut".

Pengurusan tenaga secara bertanggungjawab, tegas sekretariat itu, memerlukan penggunaan tenaga dengan lebih cekap, mengurangkan subsidi melampau yang diberi kepada penjana tenaga bebas (IPP).

"Dan memastikan sambungan kepada masyarakat-masyarakat luar bandar yang terpinggir, khususnya Orang Asli dan Sabah dan Sarawak.

"Penggunaan sumber tenaga yang hijau juga penting untuk mengurangkan kesan perubahan iklim," tambahnya.

Menurut sekretariat itu lagi, kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya:

1. Membuat kajian menyeluruh bagi menyelesaikan masalah tenaga Malaysia secara menyeluruh, melibatkan kesemua pihak yang terlibat, bukan sahaja Tenaga Nasional dan penyokong nuklear;

2. Menerbitkan keputusan kajian tersebut untuk semua;

3. Mengadakan perbincangan bersama rakyat, badan bukan kerajaan, kerajaan negeri, agensi kerajaan, wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan;

4. Membuat keputusan yang telus setelah menimbang baik-buruk. Malangnya, keputusan meneruskan projek nuklear ini dibuat secara tertutup, dan janji kosong kajian menyeluruh tidak ditunaikan.

"Keputusan untuk bergantung pada tenaga nuklear amat tidak bertanggungjawab dan membazirkan, sedangkan tiada usaha untuk membetulkan kelemahan sektor tenaga elektrik di Malaysia.

"Jika BN tidak dapat menyelesaikan masalah Malaysia secara bertanggungjawab, rakyat perlu menolak mereka melalui peti undi," tambahnya.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: