02 Disember 2010

PEMIMPIN UMNO INI MAHU CABAR PAS ?

25 Zulhijjah 1431H
Oleh : WFAUZDIN NS

MAKA terserlah lagi kejahilan pemimpin Umno berkaitan agama, apabila Ketua Umno Bahagian Kota Raja iaitu Ir Kamaruzzaman Johari bangkit mengulas isu ketuanan Melayu. Apabila ramai pemimpin Umno mengulas isu tersebut, beliau pun ingin mengulas tetapi ingin nampak hebat maka dikaitkan isu ketuanan Melayu dengan Islam. Cabaran beliau kepada PAS untuk

mendapat reaksi PAS di dalam isu ini ternyata mempamirkan kejahilannya.Hajatnya mungkin untuk melaga-lagakan PAS dengan PKR, kerana Presiden PKR yang mula menyentuh isu ini semasa Kongres PKR baru-baru ini. Sebenarnya Ketua Umno tersebut tidak faham langsung apa yang diperkatakan oleh DS Wan Azizah, bertambah lagi beliau tidak faham apa yang terkandung di dalam Perlembagaan dan teramat jahilnya beliau tentang dasar perjuangan PAS.

Apa kena mengena ketuanan Melayu dengan dasar PAS? PAS bukan dasarnya Kebangsaan, PAS dasarnya Islam dan Islam itu lebih menyeluruh melangkaui kaum. Itu beliau kena faham dahulu sebelum ingin mencabar PAS.

Lebih menyesatkan lagi, beliau menyebut, “Sekiranya Pas ikhlas mempunyai agenda mahu memperjuangkan agama Islam di negara ini, mereka harus terlebih dahulu ada tanggungjawab dan peranan membela nasib orang Melayu yang beragama Islam bukannya terlibat sama dengan idealisme PKR menghumban Ketuanan Melayu,” katanya (Sinar). Maksudnya, Melayu adalah penentu kepada Islam? Ertikata, Islam kena bergantung dengan kaum Melayu? Mati Melayu, maka hancurlah Islam?

Di mana pemimpin Umno ini belajar saya tidak tahu. Selama 50 tahun lebih Umno berjuang untuk Melayu kununnya, tetapi di mana kedudukan Islam sekarang? Cuma sekadar diletakkan di dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi, itu sahajakah perjuangan Umno? Teramat sesat lagi menyesatkan orang yang mendakwa bahawa jika ingin lihat Islam kuat dan berdaulat, kena kuatkan kaum Melayu dahulu. Ini memberi erti Islam itu berada di bawah telapak kaki kaum Melayu, dan pandangan ini satu pandangan yang teramat jahil lagi sesat.

Jika beginilah kefahaman beliau terhadap Islam, lebih baik beliau tidak perlu bercakap lagi. Kita bimbang, percakapannya nanti akan merosakkan akidahnya sendiri dan menyesatkan golongan yang jahil. Orang seperti inilah yang ahli-ahli Umno mahu angkat sebagai pemimpin mereka.

Oleh yang demikian, tidak perlu PAS menjawab cabaran dari pemimpin Umno ini kerana cabaran beliau itu sendiri sudah cukup menyesatkan. Sebab itu jangan hairan mengapa PAS tidak mahu bersama Umno.

Tiada ulasan: