02 Disember 2010

Ucapan Bajet Dewan Negeri Perak 2011 oleh ADUN Kawasan Pantai Remis

Saya bangun untuk membahaskan usul enakmen perbekalan untuk bajet tahun 2011.

Mukadimah

Tuan Yang Dipertua yang terpaksa saya kasihi, terima kasih kerana mengizinkan saya bangun untuk membahas enakmen perbekalan untuk bajet tahun 2011. Walaupun nama bergelar Tuan Yang Dipertua tetapi bahkan kata pepatah melayu ‘jejak dapat dihilangkan, belang bagaimana hendak dihilangkan.” Bagaimanapun, saya akur TYP mempunyai misaim yang machor.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kakitangan awam yang komited untuk berkhirmat kepada rakyat dan berjasa kepada masyarakat demi keamanan, kesejahteraan, dan kemakmuran Negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini.

Saya juga mengucapkan selamat bersara kepada pegawai kewangan Negeri, Dato Jamaluddin Al Amini yang akan bersara mulai bulan Ogos, tahun depan dan dengan jelas ini merupakan bajet terakhir yang disediakan oleh beliau. Dulu Dato Shamsul Bahrain, kini giliran Dato pula. Saya mendoakan Dato pegawai kewangan negeri akan menikmati hidup bahagia bersama keluarga selepas bersara, semoga Allah memberkati beliau seisi keluarga.

Walaupun YAB Pangkor berbangga dengan amalan pertama kali mengadakan sesi consultation dengan NGO, tetapi Ahli Dewan tidak pernah ditanya pendapat apabila menyediakan bajet tersebut. Ini adalah tidak munasabah kerana Ahli Dewan yang meluluskan dewan, ahli Dewan sendiri tidak tahu projek-projek kerajaan dalam kawasan DUN sendiri. Oleh itu, ia bukan komuniti Bajet sebagaimana yang diwar-warkan.

1. TYP, Atas asas dan hujahan oleh wakil kerajaan semasa pembentangan bajet, Negeri Perak telah memperolehi pulangan dan pendapatan luar biasa sejumlah RM117 juta, tetapi anehnya kerajaan negeri bukan sahaja tidak mampu menyediakan satu bajet seimbang, malahan deficit negeri telah meningkat RM6.20 juta dari RM23.9 melonjak ke RM29.12 juta. Bagaimanapun, jika benar pendapatan kerajaan negeri bertambah secara mendadak seperti mana yang diwar-warkan, maka saya dengan sukacita mencadangkan supaya 1 bulan bonus harus diberikan kepada semua 8,000 kakitangan kerajaan Negeri sebagai pengiktirafan dan kenangan kepada jasa mereka. Kakitangan LAP menerima bonus 3.6 bulan, maka atas asas kesaksamaan, kakitangan kerajaan negeri juga perlu diberikan penghargaan yang sewajarnya. Jikalau kerajaan UMNO-BN tidak mampu melakukan, bah kata pepatah Melayu, “hari tidak selamanya panas, untung rugi silih berganti,” Pakatan Rakyat sedia melakukannya insya Allah kita kembali memerintah negeri kita yang tercinta ini kelak nanti.

TYP, setiap kali BN tukar Menteri Besar, slogan dahulu akan ditinggalkan. Dulu YB Pengkalan Hulu melaung-laung dengan slogan Setinggan Sifar menjelang 2015, semalam kandungan bajet pula menyatakan Perak masih mempunyai 8,376 isi rumah setinggan, satu tamparan heat kepada slogan tersebut. Kemudian datang slogan “Perak Maju 2015”, tetapi selepas rampasan kuasa, datang pula slogan “Perak Aman Jaya”, natijahnya ialah dimana acuan, dimana kuihnya, intipatinya macam kempen Inflasi Sifar, semuanya tinggal janji manis sahaja.

Hutang Negeri naik 500% dalam tempoh 10 tahun

2. TYP, dari pembentangan bajet pada tanggal 30 Novemer minggu ini, ia memberikan gambaran kepada seisi dewan seperti pepatah Melayu, cakap berdegar-degar, tahi tersangkut digelegar, walaupun YAB Pangkor bergial-gial mengatakan beliau mencurahkan segala tenaga untuk meletakkan semula urus tadbir dan hala tuju negeri ini atas landasan yang betul dan kukuh. Bagaimanapun, semalam YB Psngkor memberitahu kita semua ; Ledakan Hutang kerajaan negeri semakin hari semakin menggunung, 1999 -- Hutang kerajaan Negeri adalah RM182 juta tetapi tahun 2010 -- hutang negeri kini mencecah paras RM903 juta. satu peningkatan lebih kurang 500%! Fakta didepan mata yang tidak dapat dinafikan adalah, kini hutang negeri Perak telah melebihi segala simpanan kerajaan negeri dalam kumpulan wang bersatu kerajaan. Dengan kata lain, SEKIRANYA kita perlu menjelaskan hutang segera, negeri Perak akan muflis. Jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah. . tepuk dada, Tanya imam, jika bersalah, sila bertaubat.

3. TYP, saya ingin bangkitkan beberapa perkara penting berkenaan dengan pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar dalam Negeri kita. Dua hari yang lepas, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan dimana TNB akan melabur RM4 billion untk membina empangan hidro elektrik di Ulu Jerai di Perak dan Ulu Terengganu di Negeri Terengganu. Pengumuman ini datang dengan secara mendadak dan sebagai Ahli Dewan, saya memohon penjelasan kerajaan menerangkan kepada seisi Dewan berapa ekar tanah atau hutan simpan khazanah Negara kita akan terpaksa dibersihkan demi memberi laluan kepada projek penjanaan kuasa elektrik ini. Selain itu, apakah impak atau kesan sampingan akan terjadi kepada alam sekitar kawasan yang terlibat. Begitu juga dengan ura-ura perlaburan Syarikat Vale dari Brazil, satu syarikat perlombongan besar yang dikatakan berwar-war akan melabur di kawasan Manjung. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri tidak boleh melarikan diri dari tanggungjawab untuk memberikan penerangan menyeluruh terhadap sebarang kesan sampingan yang akan menyusuli projek RM8 billion seperti mana yang dilaporkan. Saya mencadangkan satu seminar penerangan dan laporan EIA dipamerkan di ruang pejabat MPM atau Pejabat Tanah Manjung demi menghilangkan kebimbangan rakyat tempatan tentang kemungkinan kesan buruk yang bakal menimpa warga masyarakat tempatan khususnys Manjung adalah Bandar perlancongan dan destinasi rekreasi.

Banjir yang sering terjadi

4. TYP, saya juga ingin membawa perhatian Dewan ini kepada masalah banjir yang kerap melanda negeri Perak ini. Sepanjang tiga penggal saya dalam dewan ini, setiap kali perbahasan, topik banjir tetap menjadi focus dan perhatian ahli-ahli Dewan yang mulia. Barangkali setiap kali penggulungan, wakil kerajaan juga akan memberitahun jawapn piawai bahawa kerajaan akan mengambil tindakan wajar untuk mengatasi masalah ini. Akan tetapi, saban tahun kita mendengar, saban tahun negeri kita dilanda banjir. Adalah disyorkan pihak kerajaan perlu melakar satu master plan secara menyeluruh atau kempen banjir sifar untuk mencegah masalah banjir dari berulang kembali nescaya mimpi ngeri yang menghantui mangsa-mangsa banjir. Wakil kerajaan telah mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM300 juta untuk menangani masalah ini tetapi kali ini jumlah yang diperuntukkan kepada JPS jauh tidak mencukupi. Dimana masalahnya, punca akar umbi banjir perlu dikenal pasti supaya kita tidak buang masa berulangkali membincangkan perkara yang sama.Jika menebang menuju pangkal, Jika melenting menuju tangkai, kita berbuat kerja mesti kena dengan tujuan dan maksudnya.

Dalam perkara ini, saya ingin membawa perhatian kerajaan kepada dua kawasan yang sering dilanda banjir dan perlu diberi pearhatian serius. Pertama, kawasan padang tepi pasar awam Ayer Tawar yang sering dilanda banjir kilat. Masalah tersebut telah berlarutan tidak kurang dari 10 tahun dan saya menaruh harapan yang tinggi ini kali terakhir saya perlu bangkitkan hal yang sama. Kedua, kawasan Taman Setia dan sekitar kamunting, Taiping. Semenjak perlaksanaan projek keretapi berkembar, kawasan tersebut di atas sering dilanda banjir dan banjir teruk telah melanda kawasan tersebut baru-baru ini. Saya mengeyorkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan supaya menyiasat punca masalah banjir ini samada dia disebabkan oleh kerja kontraktor projek tersebut, MMC-Gamuda ataupun tidak. Kerajaan Negeri Perak dengan slogan Rakyat didahulukan seharusnya mencontohi kerajaan Pulau pinang meminta letter of undertaking dari kontraktor berkenaan dimana menetapkan syarat utama memberi jaminan perlaksanaan projek pembinaan tidak akan mengakibatkan banjir dan kontraktor perlu menyatakan kesudian membayar ganti rugi nescaya banjir terbukti hasil daripada kerja mereka. Kegagalan kerajaan negeri membuat demikian sebaliknya membayar sedikit sedekah kepada mangsa selepas banjir bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah malahan ia menambah beban kepada dana awam. Pendekatan baru perlu diambil demi merawati masalah tersebut dari segi akar umbinya.

5. TYP, saya disini juga ingin mengutarakan bahawa semenjak kemerdekaan, Pekan Panchor yang terletak dekat Pantai Remis telah berada diluar bidang kuasa mana-mana kerajaan tempatan. Akibatnya lebih 200 buah keluarga penduduk di Pekan Panchor tidak dapat menikmati perkhidmatan asas yang ditawarkan kepada penduduk-penduduk lain dalam kawasan Manjung. Di kampong nelayan tersebut, sebahagian tanahnya dibawah bidangkuasa pejabat Tanah Manjung dan bakinya dibawah bidangkuasa Pejabat Tanah Daerah Larut dan Matang. Adalah amat dukacita dimaklumkan akibat terpinggir dari pembangunan arus perdana lebih dari setengah abab, keadaan kesihatan kampung tersebut bukan sahaja menyedihkan, malahan Kampung tersebut pernah ditimpa mala petaka wabak penyakit chikukunya yang berasal dari Kenya, Afrika. Selain itu, atas kesuntukan peruntukan, bangunan SJK Yen Min di Panchor juga mengalami masalah hakisan tanah yang serius sehingga menyebabkan bilik darjah sekolah mulai tenggelam dengan kadar yang membimbangkan. Tambahan lagi, bangunan Dewan Sekolah nama Tun Dr Lim Keng Yak yang menelan belanja RM350 ribu kini telah retak dan dikhuatiri akan runtuh pada bila-bila masa. Demi mengelakkan mala petaka dari berlaku, saya mengeyorkan kerajaan negeri dan kementerian Pelajaran Negeri mengambil tindakan dengan kadar segera menambahbaik sekolah berkenaan dan sesi dialog antara MPM, Pejabat Kesihatan dengan penduduk perlu diadakan dengan secepat mungkin supaya Pekan Panchor terselamat dari keadaaan khusyuk dan menyayat hati tersebut.

6. TYP yang dipaksa, saya ingin mengutarakan bahawa ‘kesihatan adalah teras kesejahteraan hidup rakyat.” Saya bersyukur kerana Pantai Remis kini telah dibekalkan dengan sebuah klinik moden yang menelan belanja lebih dari RM10 juta. Klinik tersebut telah dirasmikan oleh DYTM Seri Paduka Baginda Raja Muda Perak pda tahun ini. Akan tetapi saya amat bimbang ia indah khabar dari rupa. Semasa lawatan saya ke Klinik tersebut, jelas terperanjat dimana walaupun bangunan tersergam indah, tetapi Klinik 10 juta tidak ada kemudahan X ray. Selain itu, seluruh kawasan Pantai Remis pun tidak ada kemudahan Dialysis Centre. Saya ingin memohon kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan ingin memberitahu semua semasa pertemuan saya dengan Menteri Kesihatan di bilik air Dewan Rayat, YB Menteri telah berjanji akan membantu dalam hal ini. Maka saya pohon kerjasama Pengarah Kesihatan Negeri menguruskan segala yang perlu supaya kemudahan X-ray dan Pusat Dialysis dapat diadakan dalam tempoh paling singkat demi keperluan pesakit buah pinggang yang kini terpaksa menerima rawatan ke Seri Manjung .

7. Selain itu, saya ingin membawa isu janji kerajaan untuk memperuntukkan RM1.2 juta untuk membina sekolah 4 tingkat bagi SJK(T) Tamil, Ayer Tawar tetapi masih tidak kesampaian. Bah kata pepatah melayu, lembu berpegang kepada tali, tetapi manusia berpegang kepada janjinya. Dalam tangan saya ada surat dari bekas Menteri Pelajaran bertarikh 5/1/2008 yang meluluskan 1.2 juta untuk projek pembinaan 24 bilik darjah untuk sekolah tersebut. Akan tetapi, janji tetap belum dikota, inilah gambaran wajah sebenar UMNO-BN.

Projek RM22 juta terbengkalai

8. TYP, tadi YAB Pangkor Negeri Perak mengatakan beliau mencurahkan segala tenaga untuk meletakkan semula urus tadbir dan hala tuju negeri ini atas landasan yang betul dan kukuh. Bagaimanapun, saya ingin membawa perhatina Dewan ini untuk menyatakan dalam Negeri Perak terdapat sekurang-kurang 8 projek awam yang menelan belanja puluhan juta ringgit tetapi didapati terbenglakai, reput, menjadi semak-samun dan tidak sesuai digunakan untuk manfaat orang awam.

Yang memeranjatkan adalah antara projek jutaan ringgit yang terbengkalai, sekurang-kurang 5 buah projek menelan belanja RM5 juta terletak dalam kawasan Menteri Besar sendiri di dalam DUN Pangkor. Ini terbukti kepimpinan BN gagal menunjukkan teladan yang baik dan contoh buruk tersebut patut ditegur oleh rakyat jelata yang membayar cukai.

Antara nama-nama projek tersebut yang perlu penjelasan Menteri Besar kepada rakyat demi tanggungjawab yang diamanahkan adalah :-

Nama Projek Jumlah Kos terlibat/RM
1.Resort Tepi Buki, Teluk Batik 2,430,000.00
2.Dewan Serba guna Padang Bandaran Kuala Kangsar 10,000,000.00
3.Pangkor Height Villa 790,000.00
4.Dewan serba guna Teluk Gong, Pangkor 260,000.00
5.Restoran Terapung Teluk Gong, Pangkor 1,900,000.00
6. Restoran Terapung Teluk Dalam, Pangkor 1,560,000.00
7. Korporat Villa Jenis B 380,000.00
8. Bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak 4,900,000.00
------------------------
Jumlah Kos RM22.22 juta

Untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, antara projek yang tersenarai di atas, ada pula projek yang dimulakan sejak tahun 1991, satu tempoh lebih kurang 2 dekad yang dulu. Saya ingin tahu apakan langkah konkrit kerajaan untuk menyelamatkan projek-projek sakit ini. Adakah ia berlaku kerana projek-projek ini dianugerahkan kepada kroni-kroni UMNO tanpa open tender? Kegagalan kerajaan menyelamatkan projek jutaan ringgit ini terbukti slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan telah diganti dengan slogan baru “Kroni didahulukan, projek diutamakan.”

9. Walaupun kementerian kewangan telah mewujudkan e-portal my procurement, tetapi projek berbillion-billion ringgit masih tidak dijalankan dengan sistem open tender. Umpamanya projek Istana Negara yang dulunya dianggarkan bernilai RM400 juta, tetapi kini projek belum siap, nilai projek sudah meningkat hingga RM811 juta. Yang paling memeranjatkan adalah projek itu diberi dengan rundingan terus atas alasan ia lebih murah, tetapi akhirnya terbongkar segala adalah seperti kata orang Melayu, “jarum harus kelindan sutera,” Bukan ini sahaja, ia juga terbukti dibawah konsep Sapu Malaysia, bukan satu Malaysia, projek ini dikurniakan kepada satu syarikat Maya Maju(M)Sdn Bhd yang didapati tidak mempunyai lesen kontraktor kelas “A”. dan tidak mendaftar dengan CIDB. Kontrak dianugerahkan pada tahun 2007 tetapi syarikat hanya mendaftar pada tahun 2008. Selain itu, Projek Institusi Kanser Negara dianugerahkan kepada Kiara Teratai Sdn Bhd pada tahun 2007 dengan nilai projek RM340 juta tetapi nilai projek telah melambung menjadi RM700 juta dalam tempoh 2 tahun, iaitu pada 2009. Yang lebih memeranjatkan syarikat tersebut mempunyai paid up capital 1 juta tetapi menanggung kerugian RM1.5 juta. Bayangkan syarikat demikian boleh memperolehi projek jutaan ringgit.

TYP, adalah satu perkara yang mengejutkan bahawa tidak ada orang kena dakwa walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bernilai RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan.

Walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang menelan belanja RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan setelah pembukaan rasmi, tidak ada sesiapapun didakwa atas kejadian yang menjejaskan imej Negara.

Mengikut jawapan dari Menteri Kerja Raya, Dato Seri Shaziman, kontraktor utama projek berkenaan, iaitu Konsortium Bina Struktur-Emarcon-Genggam Mercu JV telah diarahkan oleh kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa keruntuhan bumbung di Stadium itu kerana projek itu masih dalam tempoh warranti semasa kejadian runtuhan berlaku. Walaubagaimanapun, kontraktor konsortium itu enggan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa runtuhan dan pembaikan walaupun beberapa surat peringatan telah dikeluarkan kepada pihak Kontraktor. Oleh itu, kerajaan terpaksa menawarkan tender baru pada 22 Mac 2010 untuk membersihkan sisa runtuhan Stadium yang menganjurkan SUKMA 2009 tersebut. Tender tersebut telah ditutup pada 19 April 2010.

Menurut Menteri berkenaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah menggantung lesen pendaftaran kontraktor utama projek tersebut dan mengenakan tindakan senarai hitam kepada Ahli Ahli Lembaga Pengarah dan pengarah sahamnya dari mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan mulai 4 September 2009.

Berbanding dengan Singapura, tindakan kerajaan jelas gagal mencegah kejadian sedemikian dari berlaku pada masa depan kerana pihak yang mengakibatkan keruntuhan stadium dan kerugian harta kerajaan tidak perlu menghadapi tindakan Mahkamah.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengambil iktihbar dari siri kejadian projek-projek kerajaan yang menjejaskan imej Negara.

Di depan mata kita, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bumbungnya bocor, bangunan parlimen yang menghadapi kebocoran 13 kali dalam 5 tahun, Hospital Pandan, Johor Bharu yang dijangkiti fungi, Masjid Besut Terengganu yang runtuh, Bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak yang runtuh hancur berkecai, Jejantas Kepong yang retak dan begitu banyak contoh kesemuanya mencerminkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan Barisan Nasional!

Kesimpulan

Saya berharap BN jangan menyingung perasaan kerana mendengar kata-kata saya tadi. Kerana “Jika ada padi berhampalah, jika ada hati berasalah.” Sepandai-pandai tupai melompat,akhirnya jatuh ke atas lantai juga. Penyamun boleh merompak, pencuri boleh mencuri, tetapi akhirnya mereka yang condong cenderong kepada kezaliman, nescaya mereka akan disambal oleh api neraka. “ Wa la tarkanu illalazi na zolamu fatamas sakumun nar.” Surah Hud-Ayat 113.

Saya mendoakan Demokrasi akan hidup semula di negeri Perak yang tercinta, hanya kerajaan dari rakyat, untuk rakyat, bagi rakyat adalah satu-satu kerajaan yang sah, kerajaan yang bermaruah. Kerajaan yang bergantung kepada pengkhianat rakyat akhirnya akan menerima balasan atas pengkhianatan mereka.

Sekian, saya membantah bajet deficit Barisan Nasional 2011 ini.

Nga Kor Ming
2-12-2010

Tiada ulasan: