PETALING JAYA, 12 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Konvensyen ke-2 Pakatan Rakyat di Pulau Pinang minggu depan tetap meletakkan Perlembagaan sebagai landasan perbincangan.
Bercakap kepada media selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam, Tuan Guru Abdul Hadi menjelaskan, konvensyen kali ini juga adalah penerusan kepada resolusi yang dicapai pada konvensyen pertama PR di Shah Alam tahun lalu.
"Kita telah meletakkan satu asas kukuh melalui kenyataan bersama dalam konvensyen pertama di Shah Alam yang berteraskan pada prinsip penting dalam perlembagaan yang berjaya melahirkan negara bermasyarakat majmuk," katanya. Katanya, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat sepakat untuk menentang tindakan-tindakan Umno yang membelakangkan perlembagaan dan mengangkat agenda bersama gagasan pembangkang itu.
“Apa yang perlu kita atasi ialah kegagalan BN dalam merealisasikan aspek yang diasaskan perlembagaan," katanya lagi.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media sama turut memberitahu konvensyen Pakatan Rakyat yang dijadualkan Ahad depan hanya akan membincangkan isu-isu yang dipersetujui ketiga-tiga parti komponen.
"Kita telah bincangkan pada mesyuarat tadi. Hadi ada bersama, Mustafa Ali juga ada dan mereka jelaskan bahawa isu yang akan difokus adalah isu bersama,” kata Anwar.
“Kenapa perlu dibawa isu yang kita tidak ada kesefahaman bersama? Keputusan kita bergantung kepada konsensus.
Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember ini dilihat medan memperkukuh solidariti ketiga-tiga parti komponen PAS-PKR-DAP untuk berdepan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
Ianya antara lain turut melihat fitnah yang dilemparkan Umno terhadap Pakatan Rakyat termasuk isu isu ketuanan Melayu yang diputar belit media parti pemerintah itu.
"Kita ulangi keputusan dan muafakat kita bersama untuk mempertahankan agenda bersama pakatan rakyat dan mempastikan semua serangan dan fitnah Umno yang membangkitkan isu kaum dan cuba menghakis keyakinan masyarakat Melayu tidak memberi kesan kerana kita beri penegasan bahawa agenda kita berasas prinsip perlembagaan negara yang telah kita sepakati," kata ketua pembangkang itu lagi.
Menurut Anwar lagi, Umno semakin liar dalam menutup suara pembangkang dan ruang-ruang demokrasi yang sedia ada dalam usaha terdesak untuk memenangi pilihanraya umum akan datang.
Lim pula berkata asakan Umno berpaksikan fitnah terhadap Pakatan Rakyat diperhebatkan sebelum pilihanraya umum.
"Baru-baru ini kita lihat kempen yang amat agresif BN yang menabur fitnah dusta (terhadap) parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang menunjukkan mereka (BN) takut dan khuatir mengenai pengaruh Pakatan Rakyat," katanya.(Harakahdaily)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan