07 Januari 2011

Guan Eng fail saman Utusan Malaysia

02 Safar 1432H.
Oleh : Mohd Sabri Said.

GEORGETOWN, 6 Jan: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berjanji akan menyerahkan semua wang hasil kemenangan tindakan menyaman Utusan Malaysia kepada tabung Program Miskin Tegar bagi mengembalikan hak kepada rakyat yang kuat menyokongnya.

Lim terpaksa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kerana tidak tahan dengan berita fitnah yang saban hari disiarkan dengan matlamat menjatuhkan maruah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Beliau yang datang tepat pukul 12.00 tengah hari bersama peguamnya, Jagdeep Singh Deo terus di bilik mahkamah bagi memfailkan saman terhadap akhbar berkenaan.

Lim kesal kerana Utusan Malaysia terus melancarkan serangan berbau fitnah terhadap kerajaan pimpinanya tanpa menghiraukan jawapan yang dikeluarkan bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada umum.

Bukan itu sahaja malahan Utusan juga bertanggungjawab melaga-lagakan kepimpinan DAP, PAS dan KeAdiLan supaya wujud persengketaan dalaman yang boleh menjejaskan perpaduan yang terjalin erat dalam Pakatan Rakyat.

"Selama ini kita diam sahaja tidak bertindak apa-apa tetapi bila melihat terlalu melampau kita terpaksa mencari jalan untuk saman akhbar itu," tegasnya.

Sejak lima negeri dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, Utusan terus menyerang dengan berbagai fitnah.

Antaranya Pulau Pinang dengan fitnah kononnya Kerajaan Pakatan Rakyat menghakis perkampungan Melayu, membatalkan perarakan Maulidur Rasul, menegah peniaga Melayu berniaga di Komtar pada bulan Ramadhan, merobohkan rumah penduduk Kampung Buah Pala dan Genting serta menggunakan dana dari sumber perjudian untuk bantuan warga emas.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Unknown berkata...

Betul lah tu bukan fitnah...!!! kita tengok saman LGE kali ni, jalan tak..?? Kalau Kerajaan sebelum lemah, sekarang kuat kot sampai banyak peniaga melayu disingkirkan. Sekarang kaum India lak...!!