5 Safar 1432H | MalaysiaKini
Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata sebarang perkara berhubung kedudukannya pada pilihan raya akan datang hanyalah antara dirinya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Ia hanya antara saya dan Perdana Menteri," katanya ringkas kepada pemberita selepas menemui Najib pada sesi pertemuan anggota Parlimen Barisan Nasional dengan PM di tingkat 4, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Baru-baru ini Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno mengesahkan spekulasi bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang. Beliau juga dipetik sebagai mengatakan "ya" dan mengesahkan spekulasi mengenai keputusannya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Terdahulu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional mencetuskan kekecohan di laman Twitter apabila mengumumkan keputusannya untuk berehat daripada bidang politik. "Hope to help win more youth support for BN (Barisan Nasional) in 2011 & work hard preparing for elections. Then I'm taking a break from politics. Can't wait" (Harap dapat bantu raih sokongan belia untuk BN pada 2011 dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya. Kemudian saya hendak berehat dari politik. Tidak sabar), katanya menerusi Twitter pada Sabtu lepas.
Kenyataan itu mendapat respons hebat daripada pengikutnya yang tertanya-tanya sama ada beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya kelak. - [MOD] Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan