09 Januari 2011

Lebih 3,000 Mangsa Banjir Di Kelantan Dipindahkan

5 Safar 1432H | TVS News.

KOTA BAHARU 9 JAN : Keadaan banjir di Kelantan pagi ini bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan meningkat kepada 3,441 orang manakala keadaan banjir di Terengganu semakin pulih.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata sebanyak 27 pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa banjir dari enam daerah iaitu Bachok, Kota Baharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

"Sehingga pukul 8.30 pagi ini, mangsa banjir terus meningkat kepada 3,441orang berbanding 2,777 orang malam semalam. Kesemua mereka melibatkan 1,011keluarga," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata daerah Pasir Mas paling teruk terjejas dengan 16 pusat pemindahan dibuka manakala enam pusat di Kota Baharu, dua pusat di Tumpat dan masing-masing satu di Bachok, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Enam laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan di daerah Pasir Mas iaitu KM3 Jalan Pengkalan Rakit, KM9 Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan lama) Kampung Siram, Pohon Tanjung-Meranti, KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu, KM23 Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 dan KM24 Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang

Jurucakap itu berkata paras air Sungai Golok masih melebihi paras bahaya 9 meter bagaimanapun telah menurun kepada 10.22 meter berbanding 10.32 meter yang dilaporkan semalam. [MOD]

Tiada ulasan: