08 Januari 2011

Strategi media baharu menjelang PRU 13

04 Safar 1432H.
Harakahdaily

Blog-blog Umno sejak kebelakangan ini gemar mengeluarkan senarai blog mereka yang paling dilawati, dijadikan sebagai satu pendorong kepada mereka untuk meneruskan penulisan.

Sebahagian besar blog bukanlah sumber maklumat yang sahih atau kredibel, malah sebahagian besar menulis menggunakan nama samaran.

Tetapi, kredibiliti seperti media berita, sama ada bercetak atau di internet bukan matlamat mereka ini.

Bagi mereka, yang utama ialah serangan terhadap parti-parti Pakatan Rakyat, untuk menjejaskan kredibiliti dan menghakis sokongan orang Melayu kepada Pakatan.

Sekiranya dinilai daripada pelawat yang menjenguk blog-blog tersebut, boleh dikatakan isu sensasi yang dimainkan secara berterusan menarik minat pengguna internet.

Betul atau salah berita tersebut bukan isu, kerana matlamatnya hanya persepsi, yakni menghasilkan dan menguatkan lagi persepsi negatif terhadap PAS dan parti-parti Pakatan.

Trend penggunaan media seluruh dunia membuktikan media “ringan,” dan sensasi lebih menarik ramai pengguna berbanding isu politik yang lebih berat seperti federalisme, perwakilan dan sebagainya.

Di sinilah peranan blog-blog Umno, iaitu menerbitkan tulisan-tulisan sensasi, berbentuk gosip, dan gambar-gambar diubahsuai untuk memberi kesan sensasi itu.

Tidak dapat dinafikan, sama ada seseorang pengguna itu bersetuju atau tidak dengan isu-isu yang disensasikan itu, tulisan-tulisan di blog itu tetap menarik minat mereka.

Budaya media di negara kita mudah suka dengan berita-berita sensasi telah menyuburkan lagi minat ini dalam kalangan pembaca.

Banyak blog Umno ini dibaca sebagai hiburan oleh sesetengah pembaca internet dan bukan sumber berita, tetapi hiburan juga boleh menjadi satu medium menyampaikan maklumat.

Walaupun tidak mempercayai semua cerita yang dihidangkan, pengunjung blog-blog tersebut mungkin akhirnya akan mempercayai atau cenderung untuk percaya kepada gosip-gosip yang diterbitkan.

Dengan jumlah blog pro-Umno yang banyak dan bercambah menjelang pilihan raya umum nanti, kebarangkalian untuk mereka menyampaikan kempen mereka kepada umum semakin tinggi.

Umno yang satu ketika dulu ketinggalan jauh dalam memanfaatkan media baharu seperti blog kini berjaya menyaingi Pakatan, atau menurut sesetengah pihak, sudah pun mengatasi parti-parti Pakatan.

Pemimpin tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak secara peribadi mengambil tahu dan berperanan dalam memperkemaskan jentera media baharu Umno.

Banyak daripada blog dan laman berita pro-Umno mendapat sokongan pelbagai bentuk daripada pemimpin tinggi parti itu.

Apa yang dicetuskan dan dibawa oleh blog-blog Umno sering kelihatan seragam dan sekata, walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam sokongan kepada pemimpin tertentu.

Di sinilah blog-blog oleh PAS, pro-PAS dan Pakatan perlu menyedari perang siber yang sedang berlaku dengan rancak ini.

Kejayaan Pakatan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu disifatkan oleh ramai pihak sebagai hasil pertarungan ide di internet.

Walaupun hal ini masih boleh diperdebatkan, sememangnya tidak boleh dinafikan sebagai salah satu sumber maklumat, internet mempunyai peranannya yang besar.

Malang sekiranya blog-blog pro-PAS dan Pakatan ketika ini teralih fokus daripada melawan serangan media baharu Umno dan terlibat dalam polemik sesama sendiri.

Blog-blog pro-PAS kelihatan mudah terlibat dalam perdebatan sesama sendiri, termasuk ketika bahang pilihan raya umum semakin dirasakan ketika ini.

Banyak isu – ataupun isu yang dibuat-buat – dipanaskan lagi oleh blog-blog yang selama ini dianggap pro-PAS dan akhirnya memberi kesan negatif kepada parti dan Pakatan.

Dalam mood menjelang pilihan raya umum kini, rakyat bukan sahaja disajikan dengan tulisan-tulisan sensasi di blog malah juga akhbar-akhbar dan televisyen.

Dalam hal ini, PAS dan parti-parti Pakatan sendiri perlu bertindak pertama dengan menyusun dan memperkemas blog yang dikendalikan sendiri oleh pemimpin dan ahli parti di semua peringkat.

Serangan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional ini akan terus meningkat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 nanti semakin hampir.

Blog-blog pro-PAS dan Pakatan perlu menjadi pesaing yang setara dengan blog-blog pro-Umno dan sekali lagi menjadi faktor penting dalam usaha memenangi pilihan raya umum.

Tiada ulasan: