08 Januari 2011

Pemurnian Undang-Undang Tubuh Negeri Perlu Perhatian Serius

03 Safar 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim.

Isu Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang menyatakan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap mempunyai kuasa eksekutif bagi memperkenankan sebarang pelantikan pegawai kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri baru-baru ini sedikit sebanyak mengelirukan ramai pihak.

Tambahan pula peranan tersebut sebetulnya telah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan membelakangi MB yang telah dipilih dengan sah oleh rakyat negeri Selangor dan diperkenankan pelantikannnya oleh DYMM Sultan.

Oleh itu beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Datuk Mohamad Munir Bani bagi menjelaskan sebarang kesamaran.

Beliau dipetik sebagai berkata, bahawa baginda sebagai Ketua Esksekutif Negeri tetap mempunyai kuasa eksekutif dan sebarang pelantikan perlu mendapat perkenan Tuanku.

Beliau juga ada menjelaskan bahawa Menteri Besar pula berperanan menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang telah diturunkan oleh baginda kepada beliau.

Persoalannya mengapa dalam hal tertentu Sultan ada peranan, dan dalam hal yang lain tidak pula disebut sebagai peranan Baginda.

Setelah isu ini membabitkan hal istana, maka muncullah sekumpulan manusia yang membawa sepaduk serta baju yang tertera tulisan “DAULAT TUANKU” seperti yang kita boleh lihat mereka di Shah Alam dan kumpulan tersebut ada juga ketika krisis di Perak.

Kronologi demi kronologi muncul dalam isu ini dan perkara tersebut telah memberi petunjuk yang dengan sendirinya menjelaskan situasi sebenar terhadap seluruh rakyat.

Dalam pada itu, tindakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang melantik Khusrin yang bertaraf Gred Jusa C ke jawatan Gred Jusa A amatlah meragukan tambahan pula beliau tiada kemahiran berbahasa Inggeris.

Ramai juga yang menyimpulkan bahawa ini adalah satu tindakan yang menafikan hak-hak golongan penjawat awam yang berkelayakan untuk Gred tersebut dinaikkan pangkat mereka dari Gred Jusa B kepada Gred Jusa A.

Dalam masa yang sama beliau (Mohamad Munir Bani) ada menyatakan bahawa SUK perlu rapat dengan Menteri Besar dan anggota Exco, satu perkara yang perlu dipersoalkan ialah latar belakang Khusrin itu sendiri adalah bekas Setiausaha Sulit mantan Menteri Besar Selangor Mohd Taib, beliau juga orang penting PERKASA dan NGO yang cenderung kepada UMNO.

Agak mustahil berlaku persamaan entiti bagi mewujudkan semangat setia kawan, kerana tiada persamaan dari segi dasar perjuangan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dan mustahil ia ada persamaan.

Bagaimana hubungan antara SUK ini akan rapat dengan Menteri Besar Kerajaan Selangor dan barisan Exconya kerana kesemua pasukan pimpinan kerajaan negeri adalah dari Pakatan Rakyat.

Isu ini seakan satu konspirasi politik oleh BN sepertimana yang telah berlaku di Perak, tujuannya sama iaitu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kerajaan BN komited mematikan amalan demokrasi di negara ini.

Barisan Nasional sejak selepas pilihan raya umum 2008, sememangnya cuba untuk mendapatkan semula negeri Selangor dengan apa cara sekalipun.

Justeru, krisis perlembagan pada 1993 yang mana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor telah dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan perlu dikaji semula , perkara ini perlu kepada perhatian serius.

Pemurnian semula kepada pelbagai tafsiran adalah penting kerana terlalu banyak kekeliruan pentadbiran yang telah dan akan timbul sekiranya perkara itu dibiarkan.

Tiada ulasan: