28 Mac 2011

Kemenangan PRK Kuala Terengganu jadi motivasi

23 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH, 28 Mac: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berharap anak-anak Terengganu di perantauan supaya bersama-sama berusaha memenangkan PAS terutamanya di negeri itu.
Katanya, mereka hendaklah menjadikan semangat memenangkan PAS di dalam Pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 2009 sebagai motivasi untuk memenangkan PAS dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau menyatakan demikian pada program hi-tea bersama beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu anjuran Persatuan Anak Negeri Terengganu di Perantauan (Perantau) Perak di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Presiden dan Setiausaha Perantau Pusat, Prof Dr. Kamarulzaman Yusuf dan Suhaimi Embong.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran beberapa pimpinan PAS negeri Terengganu dan negeri Perak selaku selaku tetamu jemputan.

Program itu mendapat sambutan di luar jangkaan daripada anak-anak Terengganu di seluruh Perak dengan kehadiran kira-kira 200 orang.

Menurut pengarah program, Nuri Al-Amin Endut, program yang julung kalinya diadakan di Perak itu membuktikan sokongan anak-anak Terengganu masih lagi teguh dan bersetuju dengan slogan PAS Ganti Umno yang digerakkan oleh PAS negeri.

Katanya, rata-rata hadirin juga yakin PAS dan Pakatan Rakyat mampu untuk menggantikan Umno BN sebagai pemerintah Malaysia serta menentang keras Umno yang merampas Perak secara haram daripada Pakatan Rakyat.

Dr Kamarulzaman Yusof pula dalam ucapan penutupnya memberikan gambaran bagaimana kuasa rakyat dengan menggunakan media baru seperti facebook, twitter dan sebagainya boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan di Asia Barat seperti Mesir dan Tunisia walaupun telah berkuasa selama 30 tahun.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: