24 Mac 2011

Mayat pengawal keselamatan dijumpa dalam kawasan sekolah

19 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Mayat seorang pengawal keselamatan berumur 62 tahun yang lengkap berpakaian ditemui terlentang dengan kepalanya bertutup dengan sehelai kain pelikat di dalam kawasan sebuah sekolah rendah agama di Kuala Selangor pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata,

mayat mangsa, Arbain Asan ditemui di bahagian pagar belakang sekolah berkenaan oleh orang awam kira-kira 7.45 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Telok Piai, Kuala Selangor, telah bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu selama lima tahun.

"Mangsa dipercayai diserang menggunakan benda tumpul berdasarkan kepada kecederaan yang dialami di bahagian atas dan belakang kepala.

"Suspek yang menyerang mangsa juga dipercayai memecah masuk ke kawasan sekolah berikutan penemuan kesan pecah masuk di pejabat dan kantin sekolah terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Mohd Adnan berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian memandangkan tiada barangan peribadi mangsa yang hilang.

Katanya, polis juga masih tidak dapat memastikan sama ada terdapat barangan yang hilang dari pejabat dan kantin sekolah itu.

Mohd Adnan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang dekat sini untuk dibedah siasat, katanya.

-Bernama

Tiada ulasan: