15 Mac 2011

Tsunami@Jepun - 70 negara hantar pasukan bantuan

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO 14 Mac - Pasukan penyelamat daripada beberapa negara hari ini mula menyertai usaha mencari mangsa gempa bumi dan tsunami yang terselamat, dalam usaha antarabangsa membantu Jepun menghadapi bencana alam itu.

Sebanyak 70 negara menawarkan pertolongan kepada Jepun, bukan sahaja daripada Amerika Syarikat (AS) yang merupakan sekutunya, tetapi juga dari China yang mempunyai hubungan tegang dengannya, selain bandar Kandahar, Afghanistan.

''Kami menawarkan rakan kami, Jepun apa jua bantuan yang diperlukan, Amerika Syarikat akan bersama Jepun ketika mereka pulih dan membina semula negara itu,'' kata jurucakap White House, Jay Carney.

Beliau berkata, dua pasukan pencari dan penyelamat AS, bersama-sama 144 kakitangan dan 12 anjing telah memulakan tugas mereka hari ini bagi mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Agensi berita China, Xinhua melaporkan pasukan penyelamat China dengan 15 anggota juga berada di zon gempa bumi utama selepas menaiki penerbangan khas dari Tokyo, semalam.

China mengenepikan isu keganasan Jepun semasa Perang Dunia Kedua, dengan Beijing tidak membuang masa melahirkan simpati atas bencana alam di Jepun itu.

''Saya mahu mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa ekoran bencana alam ini dan melahirkan simpati kami terhadap rakyat Jepun.

''China juga sering dilanda gempa bumi dan kami berasa simpati terhadap rakyat Jepun ,'' kata Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada sidang media di Beijing, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyediakan bantuan yang diperlukan oleh Jepun.

Korea Selatan pula berkata, pasukan penyelamat dengan 102 anggota telah berlepas ke Jepun hari ini dengan tiga pesawat tentera udara C-130.

Satu pasukan awal dari Korea Selatan seramai lima orang dan dua anjing telah berada di Jepun sejak Sabtu lalu. - Reuters

Tiada ulasan: