15 Mac 2011

Tsunami@Jepun - Pekan Yamamoto bak lautan lumpur

10 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
17,000 rumah terletak di pantai Pasifik musnah

SEORANG wanita duduk di tepi jalan menangis melihat kediaman dan harta benda musnah akibat gempa, tsunami yang melanda bandar Natori, Miyagi. Foto - albanjari online/BBC

YAMAMOTO: Di pekan yang dihanyutkan tsunami, Yamamoto di daerah Miyagi, ibu bapa kepada remaja berusia 18 tahun masih mencari bas mini yang membawa anak mereka.
Pasangan itu berkata, anak mereka berada dalam bas itu selepas gempa bumi dan tsunami melanda timur laut Jepun.

“Anak kami berada dalam bas itu. Tolong keluarkan segera,” kata ibu bapa Mizuki Kanno sambil menjerit selepas mendapati bas mini itu hancur dan mayat anak mereka di dalam kenderaan itu. Menangis sambil meminta tolong hanyalah satu-satunya perkara yang mampu dilakukan Eiji dan Matsuko Kanno, masing-masing berusia 43 tahun.

Polis tempatan memberitahu mereka yang tiada apa yang boleh dilakukan kerana kekurangan peralatan.

Di pekan Yamamoto yang mempunyai kira-kira 17,000 rumah yang terletak di pantai Pasifik kini seperti lautan lumpur sepanjang beberapa kilometer.

Hanya tangga kelihatan di tapak di mana stesen Sakamoto dengan laluan JR Joban digunakan. Kebanyakan pokok rhu turut dihanyutkan. Hanya kelihatan sekarang ialah kenderaan lintang-pukang begitu juga rumah.
“Saya nampak ombak lumpur datang dan mula berlari,” kata penduduk berusia 37 tahun yang bekerja di pusat penjagaan kesihatan.

Beliau pada mulanya berfikir mahu berlindung di pusat perlindungan di pekan, tetapi mengubah fikiran berlari ke tempat lebih tinggi selepas menyedari pusat itu berada di kawasan rendah.

“Jika saya lari ke pusat bandar, saya pasti akan mati,” katanya.

Yoshiko Shoji berkata, beliau terselamat kerana bernasib baik.

Wanita berusia 72 tahun dari Wad Wakabayashi Sendai terjun dari rumahnya dengan berkaki ayam sebaik mendengar bunyi runtuhan. Beliau menarik tangan suaminya, Toyoji dan berlari sekuat hati melihat tsunami yang membawa pokok dan perabot.

Beliau bernasib baik kerana dapat menumpang kereta kenalan. Apabila beliau berpaling, lumpur sudah setinggi dua meter.

Polis tempatan berkata, mereka menjumpai kira-kira 200 hingga 300 mayat di wad.

“Lebih banyak nyawa mungkin dapat diselamatkan jika persatuan komuniti tempatan memutuskan lebih awal apa tindakan yang boleh diambil dalam situasi seumpama ini,” kata Shoji. – Agensi.

Tiada ulasan: