19 April 2011

Lebih 1,000 Orang dibunuh Tentera Gaddafi

15 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



MISRATA, Libya - Dianggarkan 1,000 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera di bandar Misrata apabila tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyerang lokasi itu dengan menggunakan kereta perisai dan penembak curi sejak enam minggu lalu, kata seorang doktor semalam.

"Kira-kira 80 peratus kematian melibatkan orang awam," kata Dr. Khaled Abu Falgha yang bertindak selaku pentadbir di sebuah hospital utama di Misrata.

Beberapa kakitangan perubatan menyaksikan kenaikan mendadak jumlah mangsa yang dibawa ke hospital pada minggu lalu.

Mereka mengalami kesan tembakan di kepala dan leher yang menjadi sasaran utama penembak tepat.

Sementara itu, enam lagi katil di unit rawatan rapi menempatkan sekumpulan lelaki yang ditembak oleh penembak curi yang ditugaskan ke seluruh bandar oleh tentera yang setia kepada Gaddafi.

Khaled memberitahu semua 60 buah katil di hospital itu telah digunakan dengan sepenuhnya.

Mereka yang cedera ringan dihantar pulang ke rumah selepas mendapat rawatan.

Pada minggu lalu, ramai yang cedera ekoran penggunaan bom berangkai dan memerlukan beberapa anggota badan si mangsa dipotong.

Doktor itu menunjukkan contoh-contoh senjata yang disimpan tentera Gaddafi di pejabatnya.

Bom berangkai yang menyebarkan bom-bom kecil telah diharamkan oleh banyak negara.

Setakat semalam Gaddafi masih belum mahu berundur sebaliknya masih bertegas mahu berkuasa walaupun setelah empat dekad beliau memerintah.

Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Gaddafi bermula sejak 15 Februari lalu ekoran perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinannya. - Agensi

Tiada ulasan: