11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Barisan Nasional (BN) Sarawak buat pertama kalinya dalam sejarah politik negeri bumi kenyalang itu menghadapi ujian pahit dan getir dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-10 yang pengundiannyanya diadakan pada 16 April selepas penamaan calon pada 6 April lalu.
Kempen selama 10 hari telah pun berakhir dan proses undi pos terdiri dari beribu-ribu pengundi anggota angkatan tentera dan pasukan keselamatan termasuk isteri dan keluarga mereka yang bermula dua hari sebelum pengundian sebenar telahpun berakhir.
Pelbagai jangkaan dan ramalan yang dibuat oleh para penganalisis politik dan para pemerhati politik dalam dan luar negara terhadap kemungkinan keputusan pilihanraya Dun Sarawak kali ini. Ada yang meramalkan BN tidak akan lagi menikmati majoriti dua pertiga dan hanya mampu memenangi majoriti kecil untuk menubuhkan kerajaan.
Ada pula yang lebih extreme beranggapan bahawa regim Taib Mahmud yang memerintah Sarawak selama 30 tahun menyamai pemerintahan regim Hosni Mubarak di Mesir dan regim-regim lain di Timur Tengah akan berakhir dalam pilihanraya ini.
Apa pun keputusan pengundi berdaftar yang berjumlah hampir satu juta orang itu yang terdiri dari pelbagai etnik, bumiputra Islam dan yang bukan Islam, pengundi kaum Cina, Dayak, Iban dan lain-lain, akan menentukan lanskap politik masa depan Sarawak khususnya dan Malaysia amnya. Indikasi perkembangan politik Sarawak dari keputusan pilihanraya negeri akan mencernakan lanskap politik Malaysia, walaupun tidak keseluruhannya, yang akan mengadakan pilihanraya parlimen selewat-lewatnya pada 2013.
Jika BN mampu mempertahankan regim negerinya dengan kemenangan majoriti dua pertiga, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan diarahkan untuk mengadakan pilihanraya dengan lebih segera bagi mengekalkan momentum kemenangan yang diraih, tetapi jika BN kecundang untuk meraih majoriti dua pertiga, pilihanraya akan dilengahkan sehingga tamat tempoh mandat lima tahun, dari pilihanraya lalu pada 2008.
Tekanan terhadap BN dalam pilihanraya ini begitu hebat dan teruja sekali. Ia dapat dilihat buat pertama kalinya tiada calon-calon BN terdiri dari calon Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), calon-calon SUPP (Cina) dan calon-calon parti etnik kaum lain yang bergabung dalam BN, tiada saorang pun yang menang tanpa bertanding.
Sudah berlalu masa calon-calon BN menang tanpa bertanding yang menjadi trend pilihanraya-pilihanraya Sarawak di masa lalu. Kali ini BN ditentang sama ada satu lawan satu, atau tiga penjuru atau lebih kerana penyertaan calon-calon bebas dalam pilihanraya Dun Sarawak. Sebenarnya calon-calon bebas tidak memberi sebarang impak kecuali satu dua kerusi, kerana ada di kalangan calon yang merupakan bekas anggota Dun Sarawak.
Pertembungan satu lawan satu adalah antara calon-calon BN dengan calon Pakatan Rakyat terdiri dari PAS, PKR dan DAP. Dalam pertandingan tiga penjuru pula berlaku pertandingan antara calon BN dengan calon Pakatan dari komponan PKR dan SNAP, sebuah parti tertua di Sarawak yang tidak dapat berkompromi dengan PKR dalam pembahagian kerusi yang dipertandingkan. PKR bertanding dikebanyakan kerusi di Dun Sarawak. PAS bertanding lima kerusi dan DAP bertanding 15 kerusi. Selebihnya ditandingi oleh PKR walaupun tidak sepenuhnya dalam pertandingan 71 kerusi Dun Sarawak.
PKR dan SNAP tidak dapat bertolak ansur dalam beberapa kawasan petandingan pilihanraya dan kerana itu pertandingan menjadi tiga penjuru. SNAP bertanding lebih dari 20 kerusi di kawasan-kawasan yang dikatakan majoriti pengundi berketurunan Dayak dan Iban yang menjadi pusat pengekalan kekuatan SNAP yang pernah memerintah Sarawak diawal penyertaan Sarawak dalam gagasan Malaysia.
Ketua Menteri Sarawak yang pertama ialah dari SNAP, Stephen Kalong Ningkan sebelum diambil alih oleh Penghulu Tawi Sli, dalam krisis politik Sarawak yang pertama di zaman Perdana Menteri (PM), Tunku Abdul Rahman.
Selepas Penghulu Tawi Sli barulah Sarawak diteraju oleh Ketua Menteri berketerunan Melayu-Melanau beragama Islam, Tun Abdul Rahman Ya’kub yang memimpin Sarawak selama satu dekad (sepuluh tahun). Pada masa pemerintahannyalah kedudukan politik bumiputra Sarawak diperteguhkan apabila berlaku penyatuan gabungan parti-parti di kalangan bumiputra Sarawak yang beragama Islam dan bumiputra yang bukan Islam.
Pengenalan politik Sarawak tidak dapat dipisahkan dari pengenalan etnik, kaum dan agama. Tetapi Sarawak telah melalui perubahan secara evolusi dan kerana itulah PAS kini mampu bertanding di Dun Sarawak. Kemampuan PAS bertanding merupakan satu perubahan keyakinan kepada politik Islam yang dibawa PAS di tengah-tengah masyarakat plural Sarawak yang pluralismenya melebehi pluralisme masyarakat majmuk di Semenanjung.
PAS tidak mungkin akan memenangi kelima-lima kerusi yang dipertandingkan dan parti-parti lain juga baik dikalangan Pakatan Rakyat dan komponan BN Sarawak tidak mungkin juga akan memenangi kesemua kerusi yang mereka tandingi. PAS dijangka mampu memenangi satu dua kerusi yang dipertandingkan atau sekurang-kurangnya akan mengurangkan majoriti calon BN yang menang di kawasan yang ditandingi PAS.
Jika demikian hakikatnya, maka ia membawa petanda bahawa PAS telah mulai diterima oleh rakyat Sarawak. Jika PAS kalah pun PAS telah membuka dan meluaskan arena politik Islamnya. Kesempatan PAS untuk berpolitik sambil berdakwah merupakan satu anugerah Allah yang besar yang perlu digunakan ruang dan peluang dengan sepenuhnya. Ia juga bererti PAS telah berada di bumi kenyalang, yang Umno masih tidak mampu memasukinya dan hanya mengharapkan PBB sebagai proxy Umno di Sarawak.
Pertanding satu lawan satu akan menyaksikan pertandingan hebat dan genting tetapi pertandingan tiga penjuru akan memberI miliege kepada calon BN. Sayang sekali SNAP tidak dapat bersama dengan Pakatan Rakyat. Dalam pertandingan pelbagai penjuru juga ia akan memberi keuntungan kepada BN.
Perdana Menteri (PM) Najib Tun Razak agak yakin dengan kemungkinan BN akan menguasai Dun Sarawak dan begitu juga Ketua Menteri (KM) Taib Mahmud, tetapi jika hendak berlaku tsunami politik di Sarawak seperti tsunami 2008 di Semenanjung, tiada sesiapa yang dapat menahannya. Kemungkinan rakyat Sarawak sudah bosan dengan pemerintahan BN di Sarawak yang berKMkan Taib Mahmud, selama 30 tahun, satu era pemerintahan yang terlalu lama. Taib dijangka akan berundur selepas pilihanraya setelah penggantinya dapat dicari. Taib tidak akan menghabiskan penggal ini.
Bagaimana pun keputusan pilihanraya bergantung bukan kepada satu dua faktor. Ia mencakupi pelbagai faktor dan faktor-faktor inilah yang sedang diperkecilkan oleh parti pemerintah bagi menjamin kemenangan mereka berterusan.
Sesuatu yang sangat jelas bahawa pilihanraya yang diadakan tidak berada di landasan yang benar-benar demokratik, apabila kerajaan menggunakan seluruh jenteranya di peringkat negeri dan pusat untuk membeli undi rakyat. Pengundi dibeli dengan projek-projek segera yang berjumlah berjuta-juta ringgit.
Pertandingan tidak berada di padang permainan samarata, Pakatan Rakyat terutama PAS, mana mampu menghadapi perbendaharaan negeri dan pusat yang menabur wang dengan pelbagai projek untuk membeli undi. Rakyat Sarawak yang rata-rata masih dalam kolompak kemiskinan, walaupun negeri mempunyai hasil perkayuan dan petrolium. Dalam persekitaran masyarakat yang dibelenggui kemiskinan amat mudah untuk mempengaruhi rakyat untuk memberi sokongan kepada mereka dengan mengadakan projek-projek prasarana dan kemudahan.
Di kalangan Pakatan Rakyat, DAP dijangka akan membuat kehadiran-nya dirasakan kerana pengundi-pengundi Cina mempunyai pemikiran terbuka. DAP bertanding di kawasan-kawasan bandar dan pekan melawan calon SUPP. Calun-calun PKR dari kalangan etnik Cina dan lain-lain dijangka juga akan membuatkan kehadirannya. Di kawasan-kawasan pertandingan dengan PBB, tidaklah mudah bagi calon PKR untuk membuat kehadirannya dirasakan, tetapi pertandingan tetap sengit dan mencabar.
Sedikit lagi advantage bagi calon-calon BN bahawa mereka berkempen atas dasar bahawa parti-parti mereka adalah parti-parti yang berasal dari bumi kenyalang tidak seperti parti-parti dari Pakatan Rakyat kononnya semuanya datang dari Persekutuan. Tetapi hakikatnya, calon-calon yang bertanding semuanya adalah calon-calon tempatan.
Jika DAP dan calon PKR dari kalangan kaum Cina membuat kehadirannya maka kedudukan SUPP sangat genting dan berkemungkinan SUPP akan mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya ini. Kehadiran SNAP juga tidak dapat diperlekehkan kerana SNAP berupaya dan mampu menerokai kemenangan yang akan menjadikan politik tawar menawar di Sarawak selepas pilihanraya.
H/daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan