30 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 4 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan penahanan Kadir Hashim, yang juga seorang OKU ( orang kelainan upaya) di bawah Akta Keselamatan (ISA) bertujuan untuk tenggelamkan isu panas terutama dalam pilihan raya negeri Sarawak.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, PKR dengan tegas dan sekeras-kerasnya mengutuk penahanan tanpa bicara Saudara Kadir Hashim yang jelas membelakangi hak asasi manusia.
"Justeru, penahanan ini sebenarnya hanya bermotifkan politik dan sengaja untuk menenggelamkan isu-isu panas yang berkaitan dengan pilihan raya Negeri Sarawak yang semakin hampir," katanya.
Kadir Hashim, 42, ditahan polis mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kampung Kerinchi di sini, petang 1 April lepas.
Kadir adalah seorang ahli PKR ditahan dalam serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya kira-kira pada jam 6.50 petang, lapor KeadilanDaily.
Perkara itu disahkan Mohamad Izhar, Ketua Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai.
Beliau menganggap penahanan itu tidak masuk akal kerana Kadir adalah seorang peniaga tomyam OKU yang memiliki sebelah tangan dan mustahil untuk terlibat dalam ‘gerakan subversif’ seperti didakwa polis ketika membuat tangkapan.
Dalam pada semua masyarakat sivil menentang amalan penahanan tanpa bicara, tiba-tiba orang ramai dikejutkan dengan penahanan Kadir Hashim di bawah Akta Keselamatan (ISA).
Bagi Wan Azizah (gambar bawah), ini menunjukkan bukan sahaja Kerajaan tidak mengendahkan desakan rakyat tetapi ia menggambarkan BN sudah terlalu angkuh.
Apatah lagi Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor Jumaat lalu telah meluluskan Usul Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Kita difahamkan Kadir Hashim dikaitkan dengan militan di Cambodia. Jika benar dakwaan tersebut, Kadir hendaklah dibawa kemuka pengadilan, dibicarakan dan dibenarkan membela diri.
"Negara ini mempunyai cukup akta dan undang-undang yang boleh digunakan umpamanya Akta Polis dan Kanun Keseksaan," katanya.
PKR, katanya, dengan tegas dan sekeras-kerasnya mengutuk penahanan tanpa bicara Saudara Kadir Hashim yang jelas membelakangi hak asasi manusia.
" Keadilan dengan ini terus mendesak supaya akta zalim ISA dimansuhkan dan kesemua tahanan yang ada didakwa di mahkamah dan dibicarakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
"Keadilan sedar bahawa ketenteraman awam itu adalah penting dan mesti dipertahankan tetapi penahanan tanpa bicara melalui ISA itu jelas sekali zalim dan di luar kemanusiaan," tegasnya.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan