04 April 2011

Usah pandang enteng, Kelantan tidak kebal

30 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 April: Ahli PAS khususnya di Kelantan dinasihatkan tidak memandang remeh Gelombang Merah yang dilancar Umno negeri itu, jika mahu menyelamatkan pemerintahan Islam yang sudah 20 tahun di negeri itu.

Exco Penerangan Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Mohammed Fadzli Datuk Hassan berkata, biarpun masuk penggal ke-5 memerintah negeri itu, ahli PAS jangan berasa selesa kerana kerajaan PAS Kelantan bukanlah kebal.

"Kita tidak boleh pandang enteng, sebab dari sudut sejarahnya pun, PAS pernah perintah Kelantan, tapi kita jatuh, kita tidak kebal.

"Dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, kita hampir kalah di Manek Urai dan kalah di Galas," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui selepas merasmikan program pemukiman kedua bloger PAS dan Pakatan Rakyat, anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di ibu negara semalam.

Tambah beliau lagi, jika tiada usaha kuat dari ahli PAS, maka tidak mustahil Umno akan kembali menguasai Kelantan.

Apatah lagi ujarnya, Umno boleh bertindak apa sahja kerana tidak mempunyai batas undang-undang dan akhlak.

Malah lebih besar dari itu, perubahan dan penerapan nilai Islam yang dibuat selama 20 tahun oleh kempimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya akan berkubur begitu sahaja.

Sepanjang 20 tahun katanya, PAS telah melaksanakan hampir semua perubahan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri termasuk mengharamkan penjualan arak dan premis judi di negeri itu.

Berkenaan undang-undang hudud pula katanya, kerajaan negeri telah meluluskan perkara itu namun perlaksanaannya terhalang kerana di bawah bidang kuasa pusat.

"Tok Guru (Nik Aziz) selalu tanya, kenapa Umno nak lagi rampas Kelantan. Kita dah buat hampir semuanya dah.

"Kalau nak Kelantan nak buat macam negeri Umno lain, itu bermakna mahu meruntuhkan Islam di Kelantan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, kerajaan Kelantan telah melancarkan kempen 'Selamatkan Islam, Tolak Jahiliyah' untuk berdepan Gelombang Merah Umno negeri itu.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah

Tiada ulasan: