11 Mei 2011

DEWAN PEMUDA PAS MIRI BERSEDIA BERBINCANG DENGAN YB DAUD UNTUK MENYUBURKAN DAKWAH DI MIRI

08 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Kawasan Miri (DPPKM) bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk YB Daud demi untuk kepentingan dakwah Islam, khususnya di Miri. DPP Miri melihat kerajaan negeri perlu membuat perubahan drastik dengan memberi perhatian serius ke atas perkembangan agama lslam di Sarawak dalam konteks yang lebih luas bukan hanya berasaskan sentimen politik sempit semata-mata, tetapi perlu dilihat secara telus tanpa ada sebarang unsur prejudis. Hasrat ini dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Miri, Saudara Wan Husni berhubung kenyataan YB Daud dalam akhbar Borneo Post baru-baru ini.

Menurutnya lagi, Sarawak merupakan sebuah negeri yang mempunyai sempadan geografi yang sangat luas dan Islam adalah kelompok minoriti di negeri ini. DPP Miri merasakan masjid dan surau adalah antara medium yang paling sesuai untuk memperkasakan lagi agenda dakwah. Fenomena ini perlu diberi perhatian serta fungsi masjid dan surau mestilah diperluaskan untuk kepentingan masyarakat. Kita melihat realiti yang berlaku dimana fungsi masjid dan surau pada hari ini diperkecilkan dengan hanya menumpukan soal ibadat ritual semata-mata. Ada sesetengah masjid begitu usang dan uzur tanpa ada pengimarahan dan program yang dilaksanakan. Sepatutnya masjid dan surau ini menjadi pusat kegiatan masyarakat, contohnya dalam menguruskan soal poliItik, ekonomi, masyarakat dan sebagainya. Selain itu juga majlis ilmu perlulah dihidupkan secara berterusan bukan hanya bermusim, maka DPP Miri bersedia untuk membantu dalam sudut tenaga, masa dan idea yang diperlukan dan bersedia merangka dan menyusun program yang bersesuaian kepada masyarakat.

Selain itu juga DPP Miri menggesa pentadbiran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) diperkemaskan. Kita sering mendengar keluhan masyarakat berkaitan isu tenaga-tenaga JAIS yang sangat terhad dan menyukarkan untuk merangka dan memantau program-program agama yang dilaksanakan. Program susulan kepada saudara baru perlu disusun dan dipantau secara sistematik dan berkesan serta dilaksanakan secara berterusan. Kita tidak mahu hanya menjalankan tanggungjawab seperti ‘melepaskan batuk ditangga’ sahaja tanpa ada ada sebarang tindakan dan pantauan.

Institusi pendidikan agama seperti SMKA, SRA juga perlulah diperbanyakkan khususnya di Miri. Sebenarnya permintaan masyarakat sangat menggalakkan dan rakyat merasakan ini adalah satu keperluan asas dalam membentuk masyarakat yang rabbani dan taat kepada Allah. Masalah sosial yang begitu kritikal berlaku pada masa kini tanpa ada jalan penyelesaian, maka DPP Miri merasakan langkah ini sebagai usaha untuk membendung masalah yang terus berleluasa ini.

Justeru DPP Miri mengharapkan hasrat dan pandangan kami ini diteliti serta diberi perhatian oleh mana-mana pihak yang terlibat. DPP Miri bersedia pada bila-bila pada masa untuk bertemu dan berbincang dengan sesiapa sahaja untuk kepentingan ummah khususnya di Miri.

Ketua Pemuda PAS Miri

Wan Husni Wan Osman

Tiada ulasan: