11 Jun 2011

Negara berkebajikan, mesra pelabur - Presiden

9 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Jun: Konsep 'negara berkebajikan' yang mahu dilaksanakan PAS jika diberi mandat memerintah negara bersama rakan Pakatan Rakyat, diyakini mampu menarik minat pelabur asing melabur di negara ini.


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, minat pelabur itu akan didorong oleh keyakinan mereka terhadap pengurusan ekonomi negara yang sihat iaitu bebas rasuah, tiada salah guna kuasa dan berintegriti seperti yang dianjur Islam.

Hasil dari pengamalan urus tadbir yang baik itu juga, sekaligus akan menambah pendapatan negara.

"Dalam negara berkebajikan, cukai dipungut mengikut perkembangan, rasuah tidak ada, pelabur suka datang.

"Dengan sendiri hasil negara bertambah. Ini caranya," katanya melalui laman Facebook.

Beliau menjelaskan demikian dipercayai sebagai menjawab persoalan yang ditimbulkan pemimpin Umno BN berhubung konsep negara berkebajikan yang menjadi tema ucapan dasar presiden PAS pada Muktamar parti itu yang ke 57 minggu lalu.

Pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak sebelum ini turut memperkecil hasrat PAS yang mahu memperkenal konsep negara berkebajikan tersebut dan mendakwa BN sudah lama mengamalkannya.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu membidas kenyataan itu dengan mendakwa BN mengamal pemerintahan diktator dan bukannya negara berkebajikan.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata konsep negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS berbeza dengan yang didakwa Najib bahawa sudah diamal Umno.

Katanya konsep negara berkebajikan itu mempunyai elemen yang lebih murni dalam menyelamatkan negara kerana PAS akan menerapkan konsep halal dan haram dalam pelaksanaannya dan tidak seperti Umno.

"Disinilah kuasa barat takut, bimbang dengan pemerintahan Islam," tegasnya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: