11 Rejab 1432H. [MOD] -
Lereng bukit runtuh hempap lori
BERUAS: Seorang pemandu maut selepas lori dipandunya ditimpa runtuhan tanah bersama pokok besar yang terdapat di lereng bukit ketika melakukan kerja pembersihan di tanah persendirian di kawasan Ulu Licin, dekat sini pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.53 pagi, Shah Faizal Ashraf Ahmad, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja pemunggahan tanah apabila kawasan lereng bukit yang dikorek jengkaut berhampirannya, tiba-tiba runtuh lalu menimpa lori seberat satu tan itu.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama pekerja lain sedang melakukan kerja pembersihan tanah di kawasan persendirian.
Berikutan itu, mereka terpaksa memberhentikan kerja pengorekan tanah berkenaan dan mengambil masa sehingga 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman, berkata mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Beruas tetapi disahkan meninggal dunia sebaik diperiksa.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Pantai Remis diketuai Ketua Operasi, Ali Saad bersama enam anggota dan satu jentera pemadam api terpaksa mengambil masa 45 minit tiba di tempat kejadian berikutan kedudukannya agak jauh dan terpaksa melalui jalan menuju Hutan Lipur Ulu Licin.
Berita Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan