03 Julai 2011

21 pelajar disengat tebuan ketika larian 1Murid

1 Syaaban 1432H. [MOD] -


KOTA BHARU: Seramai 21 murid dan pelajar dari dua sekolah di Bachok dimasukkan ke hospital selepas mereka disengat tebuan ketika menyertai Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia pagi semalam. 

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Zaid Ahmad, berkata pelajar terbabit adalah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak.

Katanya, mereka diserang sejenis tebuan tanah dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu.
"Lapan pelajar perempuan adalah daripada SMK Badak dan bakinya daripada SK Badak yang dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Tiada yang cedera serius," katanya di Wad 5 HRPZII di sini. 

Zaid berkata, mereka yang terbabit adalah murid Tahun Empat dan Tahun Lima serta pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. 

Katanya, semua pelajar itu akan dibenar pulang secara berperingkat petang ini. 

Sementara itu, murid Tahun Empat SK Badak, Mohd Farid Firdaus, berkata beliau menerima tujuh sengatan tebuan tanah itu ketika berlari beramai-ramai di satu kawasan semak di satu laluan berdekatan sekolah. 
Beliau berkata, mereka kemudian dihantar ke Hospital Bachok sebelum dihantar ke HRPZII di sini. 

Rakannya, Nur Syafiqah Azmi, 10, berkata beliau hampir pengsan dan menjerit kesakitan ketika serangan tebuan itu berlaku. 

"Saya kena tiga sengatan di badan dan cikgu hantar ke hospital," katanya. 

Pelajar SMK Badak, Aishah Mansor, 13, berkata ketika larian dia tiba-tiba melihat tebuan itu menyengat rakan-rakannya dan beliau. 

"Semua pelajar menjerit dan kami semua kembali ke sekolah sebelum dihantar ke hospital," katanya yang terkena empat sengatan tebuan. - BERNAMA

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

rakyat didahulukan pencapaian diutamakan
gajah-gajah dngn gajah berjuang kancil mati kelaparan

Tanpa Nama berkata...

kesian,tuntut insuran dgn Pak mahyud,paksa anak2 kite,