20 Julai 2011

Buru Buaya Sebesar Myvi

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

KERJA KERAS...anggota tentera yang terbabit dalam operasi buru buaya.

SARATOK: Kelibat seekor buaya didakwa sebesar Perodua Myvi dikatakan antara 60 reptilia ganas di Sungai Sebelak di sini, yang menjadi buruan pihak berkuasa dalam operasi besar-besaran memasuki hari kedua, semalam.

Penduduk dikatakan terserempak dengan buaya itu yang muncul di permukaan air selepas membaham seorang penduduk berusia 40-an di Kampung Emplam, dua bulan lalu.
Bagaimanapun, sehingga semalam usaha menjejak reptilia itu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, tentera, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta penduduk kampung masih menemui jalan buntu.

Operasi yang bermula kira-kira jam 1.30 tengah hari, tertumpu di beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat persembunyian reptilia terbabit namun gagal memberi sebarang petunjuk.
Seorang penduduk yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, buaya berukuran 2.74 meter panjang itu dikatakan muncul sekali lagi baru-baru ini, menyebabkan penduduk memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, penduduk memang mahu pihak berkuasa menjalankan operasi memburu dan menangkap reptilia itu bagi mengelak kejadian tidak diingini terhadap penduduk yang mencari rezeki dan tinggal berhampiran sungai berkenaan.

“Kami terkejut apabila melihat buaya dianggarkan sebesar Perodua Myvi timbul di permukaan air secara tiba-tiba sebelum berenang semula perlahan-lahan ke dasar sungai.

“Bukan saya saja, malah kehadiran buaya itu turut disaksikan beberapa penduduk lain yang secara kebetulan berada di tebing sungai.

“Kami percaya buaya itu membaham beberapa penduduk dan dua bulan lalu ia muncul sambil menunjukkan mangsa yang dibaham sebelum menghilangkan diri dalam air,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Harian Metro

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

2.74 meter panjang, tak lah besar mana YB..lebih kurang 10 kaki jer...kalau 2.74 meter lebar barulah besar...