18 Syaaban 1432H. [MOD] -
KLANG 20 JULAI : Mahkamah Majistret Klang menetapkan tarikh sebutan baru bagi kes pembunuhan peguam Datuk R.Anbalagan pada 26 Ogos ini.
Majistret Azlinda Mohd Sharif menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim memandangkan laporan bedah siasat dan kimia R.Anbalagan masih belum siap.
Pada 17 Jun lalu, seorang warga India R.Narayanan, 24, dituduh membunuh R.Anbalagan yang juga majikannya dengan menetaknya menggunakan parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221 Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat di sini pada pukul 9.30 malam 13 Jun lalu.
Pada hari ini, peguambela tertuduh, Datuk V.Sithambaram meminta mahkamah merekodkan kecederaan pada tubuh tertuduh yang dikesan semasa beliau mewawancara Narayanan bersama seorang lagi peguambelanya S.Selvam.
Beliau berkata terdapat kesan luka dan sembilan jahitan pada tangan tertuduh.
Sithambaram berkata kecederaan itu patut disiasat dan tertuduh perlu dirujuk kepada seorang doktor kerana kes itu mungkin berkaitan dengan kes penyeludupan manusia.
Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan apabila seorang wanita warga emas menjerit-jerit ke arah tertuduh semasa warga India itu dibawa keluar dari mahkamah.
Wanita itu turut berkata sesuatu dengan nada keras sambil menggoyangkan-goyangkan jari telunjuknya kepada para wartawan dan jurugambar yang terpinga-pinga kerana tidak memahami percakapannya dalam bahasa Tamil.
Menurut seorang wartawan akhbar Tamil yang turut berada di situ, wanita itu adalah ibu kepada mendiang Anbalagan.
tv news/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan