28 Julai 2011

Dadah: 2 rakyat Malaysia mengaku bersalah

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

WELLINGTON 27 Julai - Dua lelaki rakyat Malaysia hari ini mengaku bersalah di mahkamah Auckland atas dakwaan menyeludup dadah ke New Zealand.

Fairfax Media melaporkan, kedua-dua lelaki itu, Eng Hin Ong, 39, dan Waihong Leong, 23, didakwa bersama-sama tujuh defendan lain.

Kedua-dua lelaki itu merupakan sebahagian daripada kumpulan pelancong yang menarik perhatian pegawai kastam pada April lalu ketika mereka berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland.

Mereka ditangkap di lapangan terbang itu setelah gerak-geri mereka menimbulkan kecurigaan.

Pegawai berkata, beberapa peket besar mengandungi methamphetamine berjumlah 8.5 kilogram turut ditemui di dalam kasut mereka.

Seorang lagi tertuduh, Ewe Hoe Ong, 40, sebelum ini telah mengaku bersalah kerana menyeludup dadah.

Ketiga-tiga defendan yang mengaku bersalah tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Auckland pada September ini.

April lalu, sekumpulan lapan lelaki dan dua wanita, kesemuanya rakyat Malaysia, didakwa menyeludup dadah, kes yang disifatkan sebagai keldai dadah paling banyak ditangkap dalam satu kejadian di New Zealand. - DPA

Tiada ulasan: