28 Julai 2011

MP Jeyakumar mulakan mogok lapar

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

Ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dipercayai melancarkan mogok lapar kerana kecewa dan hampa dengan penahanan tanpa bicaranya yang berpanjangan mengikut Ordinan Darurat.

Menurut isterinya, R Mohanarani, Jeyakumar memberitahunya berhubung mogok lapar itu semasa beliau melawat suaminya semalam.

“Apabila saya jumpa suami saya Dr Jeyakumar pada 11 pagi semalam, beliau suarakan perasaannya yang sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadap enam aktivis PSM yang ditahan sejak 2 Julai lalu.

“Menurutnya, polis enggan berganjak dari posisi asal mereka walaupun PSM 6 telah bekerjasama penuh dan menjawab semua soalan yang ditanya semasa soalsiasat dijalankan,” kata Mohanarani dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya lagi, Jeyakumar memberitahu beliau akan mogok lapar mulai hari ini dalam usaha mendapatkan keadilan.

“Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga semua PSM6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah. Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar,” katanya.

Jeyakumar baru-baru ini dikejarkan ke hospital kerana komplikasi jantung sebelum dipindah ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut.

Mohanarani berkata bertekad meneruskan mogok lapar kerana telah hilang kepercayaan ke atas polis yang didakwanya 'menembak secara liar' menolak penafian bahawa mereka sebahagian daripada BERSIH 2.0 ataupun Parti Komunis Malaysia.

“Menurut Dr Jeyakumar, beliau telah memberi kerjasama penuh sejak direman di mana beliau telah menandatangani tiga laporan termasuk laporan 45 muka surat di Pulau Pinang.

“Sekarang SB (polis cawangan khas) telah sediakan report dengan 80 mukasurat tetapi Dr Jeyakumar buat keputusan beliau tidak akan tandatanganinya kerana beliau melihat semua siasatan sebagai sia-sia sahaja,” katanya.

Dalam kenyataan media berasingan setiausaha agung PSM S Arutchelvan beliau akan ke ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kesihatan ahli parlimen itu.

“Oleh tida pengesahan daripada pihak berkuasa, kami percaya Dr Jeyakumar telah memulakan mogok lapar dan kami amat bimbang dengan keadaan kesihatannya,” katanya.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: