26 Syaaban 1432H. [MOD] -
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik dari Malaysiakini hari ini bahawa PAS terlalu ORTODOK kerana menolak Biometrik adalah suatu kenyataan yang cukup cetek, sempit dan tiada asasnya seolah-olah PAS menolak segala bentuk kemajuan yang berasaskan Teknologi Maklumat.
Kenyataan Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDEC), Tan Sri Abdul Halim Ali baru-baru ini bahawa portal rasmi Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS menduduki tangga ke-6 daripada 1,145 laman web yang dinilai diperingkat kebangsaan jelas membuktikan bahawa PAS menjuarai penggunaan Teknologi Maklumat di dalam segala bentuk urusan khususnya yang berkaitan dengan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Keputusan PAS menolak Biometrik adalah daripada kajian yang teliti. PAS tidak menolak kemajuan. PAS tidak pernah menolak Teknologi Maklumat lebih-lebih lagi jika ia menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat khususnya kepada sektor ekonomi. PAS menolak Biometrik kerana jelas, masalah pengundi hantu dan pengundi berganda tidak akan dapat diselesaikan melalui Biometrik serta dilihat sebagai satu lagi helah’ projek baru’ yang cuba ‘dihalalkan’ oleh sebuah pemerintah yang diketahui rakyat menjuarai ketirisan di dalam menguruskan kewangan Negara.
Cukuplah dengan isu komisen pembelian kapal selam Scorpene yang meragukan, kerugian Sime Darby sebanyak RM1.5 Billion, penyelewengan PKFZ dan sebagainya, rakyat sudah cukup muak dengan parti pemerintah yang sentiasa cuba menangguk di air yang keruh.
Satu lagi projek Barisan Nasional (BN) yang akan memenuhkan perut kroni-kroni mereka tanpa ada sekelumit pun hasilnya kepada rakyat.
Malah, cadangan itu dilihat cuba membunuh 2 ekor burung dengan seketul batu, satu permainan kotor SPR untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa dengan berselindung disebalik ketelusan dan integriti.
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bahawa Sistem Biometrik yang dicadangkan SPR adalah untuk memperbaiki pendaftaran dan pengesahan pengundi serta mengatasi masalah pengundi hantu dan pengundi berganda jelas membuktikan bahawa kenyataan PAS sebelum ini bahawa masalah pengundi hantu dan pegundi berganda sememangnya wujud. Malah kenyataan itu juga membuktikan bahawa Timbalan Perdana Menteri itu tidak tahu dimanakah punca masalah pengundi berganda dan pengundi hantu itu serta solusi yang tepat dan relevan untuk diketengahkan. Hakikat satu kenyataan yang tidak bebas dan berbaur politik.
Biometrik hanyalah kaedah pengesahan kali ke-2 selepas MYKAD. Dengan menggunakan kaedah cap jari yang unik, MYKAD juga mempunyai No.Kad Pengenalan yang unik di mana tidak mungkin lebih daripada seorang akan mempunyai Cap Jari dan No.Kad Pengenalan yang sama. Selepas pengesahan MYKAD, pengesahan kali ke-2 akan digunakan dengan menggunakan Cap Jari untuk memadankan Cap Jari itu dengan No.Kad Pengenalan di mana kedua-duanya perlulah dimasukkan terlebih dahulu oleh SPR atau oleh JPN ke dalam PENGKALAN DATA masing-masing.
Malah Cap Jari itu juga boleh dimasukkan oleh JPN ke dalam PENGKALAN DATA mereka dan kemudiannya disalinkan ke PENGKALAN DATA SPR. Begitu juga sebaliknya.
Kaedah yang dicadangkan untuk digunapakai oleh SPR milik kaedah yang sedia ada seperti di JPN dan di KWSP di mana No.Kad Pengenalan telah dipadankan dengan Cap Jari pemegang MYKAD dan pencarum KWSP di dalam PENGKALAN DATA mereka.
Rakyat harus tahu, sebelum mana-mana pengesahan dilakukan, No.Kad Pengenalan dan Cap Jari haruslah dimasukkan terlebih dahulu ke dalam PENGKALAN DATA.
Terbukti, paparan daftar pengundi SPR yang berganda, dengan No.Kad Pengenalan yang sama di beberapa tempat mengundi yang berbeza serta memiliki lebih dari satu No.Kad Pengenalan Baru walaupun merujuk kepada No.Kad Pengenalan Lama yang sama jelas membuktikan bahawa maklumat berganda yang dimasukkan terlebih dahulu oleh SPR dan JPN ke dalam PENGKALAN DATA adalah puncanya. Mungkin secara tidak sengaja dan mungkin juga dengan sengaja. Yang mana satukah harus rakyat percaya dengan tahap krisis keyakinan yang sedia ada?
Krisis keyakinan itulah yang harus diselesaikan terlebih dahulu oleh parti yang memerintah dan bukannya SISTEM BIOMETRIK. Cadangan SPR dan Kerajaan Barisan Nasional(BN) terlalu jauh dihadapan sehingga lupa kepada perkara pokok yang harus ditangani terlebih dahulu. Adakah kegopohan itu kerana mereka tertekan? Adakah kerana KUASA dilihat sebagai HARTA persendirian, sehingga matlamat menghalalkan cara? Tan Sri Muhyiddin sudah lupa dengan KRISIS KEYAKINAN itu sehingga beliau sendiri berfikiran ORTODOK.
SISTEM BIOMETRIK hanyalah aplikasi capaian yang digunakan sebagai pengesahan peringkat Ke-2 selepas pengesahan MYKAD. Manipulasi kepada PENGKALAN DATA khususnya kepada No.Kad Pengenalan dan Cap Jari yang dimasukkan terdedah luas untuk dikhianati lebih-lebih lagi oleh mereka-mereka yang dilihat tidak bebas dan tidak bersih di dalam mengendalikannya.
Selagi perkara pokok tidak diatasi, selagi itu penggunaan dakwat kekal serta 7 cadangan BERSIH 2.0 RELEVAN buat masa ini.
(Penulis mempunyai kelulusan dan berpengalaman luas di dalam pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi khususnya pembangunan aplikasi di dalam pelbagai sektor industri khususnya perkilangan, perladangan, minyak dan gas.)
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan