23 Julai 2011

Khutbah Jumaat : "TUNTUTAN SOLAT BERJAMAAH"

21 Syaaban 1432H. [MOD] -

(20 Sya’ban 1432 / 22 Julai 2011)

"TUNTUTAN SOLAT BERJAMAAH"

الْحَمْدُلِلَّهِ الْقَائِلِ،

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَٱرْكَعُوا۟ مَعَ ٱلرَّ‌ٰكِعِينَ ﴿٤٣﴾

"Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjamaah) bersama-sama orang yang rukuk".(Al-Baqarah ayat 43)

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَاللهِ! اتَّقُوا اللهَ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى الله, فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan mengerjakan semua perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kejayaan sama ada di dunia ini mahu pun di akhirat kelak. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.

Hadhirin yang dihormati sekalian,

Solat adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim semenjak mereka baligh, lima kali sehari semalam mengikut waktu yang telah ditetapkan. Solat menjadi tonggak dalam kehidupan Umat Islam yang akan memastikan kita sentiasa mentaati dan mengingati Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang kehidupan. Ianya menjadi sebab untuk kita mendapatkan Rahmat Allah di dalam kehidupan kita. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nur ayat 56;

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿٥٦﴾

"Dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada Rasul, agar kamu diberi rahmat".

Sidang Jumaat Sekelian,

Perlaksanaan solat melambangkan kualiti iman dan keyakinan kita terhadap Allah Subhanahu Wata'ala. Solat merupakan ibadat yang membezakan antara umat Islam dengan penganut agama-agama lain. Solat merupakan penanda aras kekuatan agama, kemantapan jati diri dan keteguhan akhlak.

Oleh sebab itulah umat Islam dituntut mengajar anak-anak mereka untuk solat sewaktu berumur tujuh tahun dan boleh dipukul apabila berumur sepuluh tahun jika meninggalkan solat. Solat tidak boleh ditinggalkan sama sekali walaupun dalam keadaaan yang penuh dengan kesukaran seperti ketika berperang, ketika sakit, ketika bermusafir atau ketika bertugas. Walaubagaimanapun atas kasih sayang Allah terhadap manusia maka diberikan rukhsah (keringanan) bagi melaksanakan solat dengan cara yang lebih mudah dalam keadaan-keadaan tersebut.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Selain daripada tuntutan melaksanakan solat secara bersendirian, kita juga dituntut agar melakukannya secara berjamaah. Sabda Rasulullah s.a.w.:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً

"Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat"

- Riwayat Muslim –Bil. 650

Ulamak menyatakan hukum solat berjemaah adalah samada Fardhu Kifayah ataupun sunat muakkad. Tetapi Hadis nabi menyatakan bahawa tidak boleh meninggalkan Solat berjemaah selama mana mendengar seruan azan sebagaimana sabda baginda :

عَنْ أَبِي رَزِينٍ عَنْ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ أَنَّهُ سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَجُلٌ ضَرِيرُ الْبَصَرِ شَاسِعُ الدَّارِ وَلِي قَائِدٌ لاَ يُلاَ ئِمُنِي فَهَلْ لِي رُخْصَةٌ أَنْ أُصَلِّيَ فِي بَيْتِي قَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ قَالَ نَعَمْ قَالَ لاَ أَجِدُ لَكَ رُخْصَةً - رواه ابو داود

Daripada Abi Razin daripada Ibnu Ummi Maktum, bahawa beliau bertanya kepada nabi (saw), maka katanya ; Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku seorang yang cacat penglihatan, tinggal berjauhan dan tidak sentiasa mempunyai pembantu untuk memanduku datang ke masjid, adakah aku diberi keringanan untuk sembahyang di rumah. Maka sabda baginda; adakah kamu mendengar azan. Jawab Ibnu Ummi Maktum; ya. Maka sabda Rasulullah saw; kamu tidak diberi keringanan.

Malah mereka yang meninggalkan solat Jemaah juga akan mudah dikuasai oleh syaitan. Maka tidak hairanlah jika rumahtangga, masyarakat, negeri ataupun negara yang tidak mengambil berat mengenai solat berjemaah tidak akan merasai keamanan dan ketenangan dalam kehidupan mereka jika mereka mengabaikan solat berjemaah. Sabda Rasulullah saw :

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ ثَلاَثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلاَ بَدْوٍ لاَ تُقَامُ فِيهِمْ الصَّلاةُ إِلاَّ قَدْ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمْ الشَّيْطَانُ فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّماَ يَأْكُلُ الذِّئْبُ مِنَ اْلغَنَمِ الْقاَصِيَةِ

Daripada Abu Darda’ berkata; aku mendengar rasullullah saw bersabda; tidak ada 3 orang di dalam sesuatu qaryah atau kampung yang tidak didirikan solat kecuali mereka akan dikuasai oleh syaitan, maka lazim atas kamu berjemaah kerana hanya kambing yang bersendirian sahaja yang akan dimakan oleh serigala

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Solat Jemaah menjadi lambang kesatuan dan perpaduan ummat dalam mencari Allah Subhanahu Wata'ala. Kita menghadap kiblat yang sama, kita patuh kepada imam yang sama dan segala bacaan dan pergerakan kita adalah sama. Solat Jemaah juga menjadi latihan kepada pemantapan kepada hubungan antara rakyat dan kepimpinan. Makmum perlu taat kepada imam selama mana imam melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Allah. Makmum berhak menegur imam dan imam hendaklah menerima teguran makmum dengan penuh tawadhuk. Jika sekiranya imam berterusan melakukan kesilapan tanpa mahu membetulkan keadaan maka dibenarkan makmum mengambil alih kedudukan imam kerana tidak boleh sama sekali kita terus mengikut pemimpin kita yang membawa kita kepada kesesatan tanpa ada usaha untuk memperbaiki keadaan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Kita sentiasa bercakap mengenai perpaduan umat Islam dan Bangsa Melayu. Perpaduan tidak akan dapat dicapai kecuali semua pihak tunduk kepada perintah Allah. Makmum tidak akan bersatu mengikut imam jika imam melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perintah Allah. Sebahagian dari makmum yang mempunyai ilmu akan menegur imam atau berniat mufaraqah (mengasingkan diri dari Jemaah) manakala sebahagian lagi yang jahil akan terus menjadi pak turut kepada imam yang kerana mereka tidak tahu bagaimana caranya untuk menegur imam ataupun memisahkan diri dari ikutan mereka terhadap imam. Maka makmum akan kelihatan berpecah belah walaupun mereka asalnya mengikut imam yang satu. Jika ini berlaku, maka untuk menyatukan kembali Jemaah tersebut, maka imam wajib bersifat tawaddhuk dengan mengakui kesilapannya dan kembali kepada kebenaran. Jika egonya menguasai diri dan berterusan melakukan kesilapan, maka bersedialah untuk disingkirkan daripada jawatannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Perpaduan dan kesatuan amat penting dalam kita menghadapi saat yang amat genting ini. Kegagalan kita untuk bersatu padu telah diambil kesempatan oleh musuh-musuh Allah untuk menambahkan lagi kelemahan kita. Musuh-musuh Allah ini kebanyakannya tidaklah sekuat mana. Kita pernah menguasai mereka sebelum mereka merasai kemajuan tamadun yang mereka kuasai pada hari ini. Namun apabila umat Islam tidak bersatu padu maka mereka tidak langsung merasa gerun dengan kita. Untuk kembali menguasai mereka, kita mesti bersatu untuk saling menguatkan antara sesama kita, bukan tekan menekan antara satu sama lain. Kita perlu mewujudkan rasa gerun di hati mereka bukan sekadar mengambil hati mereka. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 60:

وَأَعِدُّوا۟ لَهُم مَّا ٱسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍۢ وَمِن رِّبَاطِ ٱلْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍۢ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠﴾

"Dan bersedialah untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi".

Muslimin mukminin yang dirahmati Allah sekelian,

Bersempena dengan kedatangan Bulan Ramadhan yang mulia tidak berapa lama lagi, saya ingin menyeru jemaah sekelian untuk memulakan dengan diri kita sendiri untuk membuat perubahan dalam diri kita sebagi tanda kesungguhan kita untuk mencapai darjat ketaqwaaan dengan:-

1) Berazam untuk tidak lagi melepaskan peluang solat fardhu dan solat berjamaah di Masjid, surau, musolla atau di mana saja.

2) Sentiasa berpakaian lengkap dan menutup aurat agar kita dapat menunaikan solat pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

3) Sentiasa menjaga waktu setiap solat dan tempat untuk kita bersolat berjamaah di awal waktu walaupun ketika bermusafir.

4) Sentiasa mepersiapkan diri dengan ilmu dan kelayakan yang mencukupi untuk menjadi makmum atau imam dalam situasi yang memerlukan.

5) Memastikan agar Amar Makruf Nahi Mungkar sentiasa ditegakkan dalam masyarakat.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.


Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak

Tiada ulasan: