11 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyatakan bahawa pejuang nasionalis kiri Dr Burhanuddin Helmy mungkin menjadi Perdana Menteri pertama sekiranya rakyat diberi peluang memilih Perdana Menteri mereka.
Mohamad atau Mat Sabu yang diserang bertubi-tubi oleh Media kawalan Umno mungkin berdepan dengan kontroversi baru apabila berkata, sekiranya diadakan referendum atau pungutan suara sejurus selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman tidak akan menjadi perdana menteri yang pertama kerana pengaruh pejuang kemerdekaan sayap kiri amat kuat ketika itu.
"Yang tak mati Umno, parti lain diharamkan...Dia seorang yang kuat tapi saya yakin kalau dibuat referendum antara Tunku Abdul Rahman, (pengasas Umno) Datuk Onn (Jaafar) dan (pemimpin kiri) Burhanuddin Helmy, sudah tentu dia akan jadi perdana menteri Malaysia yang pertama. Tetapi disumbatkan mereka ini dalam penjara,” katanya dalam forum Mat Indera: ‘Pengkhianat atau pejuang’ yang dianjurkan oleh Free Public Forum di Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut Mat Sabu, beliau tidak pernah menolak peranan Umno sebaliknya mahu mereka yang turut berjuang turut diingati terutamanya setiap kali menjelang hari kemerdekaan.
“Perayaan merdeka ini sudah macam perayaan Umno bukan perayaan rakyat Malaysia ..Kalau nak kata Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman pejuang kemerdekaan tak apalah, (Cuba) di televisyen letak sekali gambar Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Mat Kilau...
Barulah rakyat terpanggil merayakan hari Merdeka.Ini Umno saja raya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan hampir 500 orang yang hadir dalam forum membincangkan perjuangan Mat Indera di Kuala Lumpur malam tadi.
Turut menjadi ahli panel forum tersebut ialah kolumnis dan bekas aktivis mahasiswa Hishamuddin Rais dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Burhanuddin pernah menjadi Presiden PAS pada 1956.
Beliau juga pernah ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura dan memenangi kerusi Parlimen Besut pada pilihan raya umum 1959.
Dalam ucapannya, Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu menimbulkan persoalan sama ada ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang mengetuai serangan yang membawa kepada kematian Sir Henry Gurney wajar dianggap sebagai pengkhianat negara.
Sedangkan, menurut Mohamad, Chin Peng bertanggungjawab menyebabkan kematian bekas pesuruhjaya British di Tanah Melayu- Sir Henry Gurney yang menjalankan usaha membuka perkampungan baru Yahudi di Palestin sebelum dihantar ke Malaya.
“Chin Peng bunuh Henry Gurney yang jajah Malaya. Saya hendak tanya, siapa yang baik? Henry Gurney atau Chin Peng?
“Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku esok. Kepada tuan-tuan fikirlah antara Chin Peng dan Henry Gurney siapa pengkhianat negara? Lu fikirlah sendiri,” katanya yang terkenal dengan kelucuannya itu.
Beliau tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Mat Indera yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira sebenar dan bukannya mata-mata British.
Mohamad berkata, beliau mengemukakan buku yang ditulis seorang bekas pegawai polis tentang peranan pasukan keselamatan pada era British.
Dalam buku bertajuk Pemburu Bintang Tiga tulisan Syed Osman Syed Omar, Mohamad menyatakan bekas pegawai polis itu sendiri mengakui antara tugas polis pada masa itu menjaga kepentingan British di estet dan lombong British.
“Lebih separuh daripada buku ini tulis pasal jaga estet mana, lombong mana. Tugas mata-mata sebelum itu selain tengok siapa yang menentang British. Ini polis yang tulis, bukan aku. Oleh itu saya syorkan kepada Timbalan Ketua Polis Negara untuk membaca buku ini,” katanya sambil menjulang buku berkulit biru itu.
tv news/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan