11 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 9 Sept: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengajak rakyat supaya keluar daripada kelambu penipuan media dan cendekiawan sempit Umno BN.
“Jangan bohongi sejarah. Sudah tiba masanya kita keluar dari kelambu penipuan media dan cendekiawan sempit Umno BN,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, orang Melayu Islam bingkas menolak idea pengagihan ekonomi dan sistem pengurusan yang dikemukakan Karl Marx, Webber dan Engel kerana mereka dicap komunis dan sosialis.
Tetapi, ujarnya konsep dan idea yang sama dijulang dan diraikan apabila ia keluar dari pemikiran Abu Dzar, dan Abdul Rahman Auf.
“Kenapa begitu?” soalnya yang juga ahli Parlimen Gombak.
Katanya, menurut pemikir Islam, Sheikh Taha Jabir Alwani, itu semua persepsi yang dibina atas emosi dan prejudis, sentimen diutamakan dan kebenaran dipinggirkan.
“Tidakkah ini sama dengan isu Mat Indera yang cuba ditonjolkan oleh Mohamad Sabu,” tanya beliau lagi.
Beliau berkata, Mohamad mahu penilaian adil diberikan kepada Mat Indera dan pejuang kemerdekaan lain.
“Berbanding kebanyakan pemimpin Umno BN yang dijulang, Mat Indera adalah seorang muslim yang kuat beribadah, seorang hafiz dan amat cintakan kemerdekaan negara dan bangsanya. Cukuplah,” ujarnya.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan