11 Syawal 1432H. [MOD] -
GADDAFI bermain dengan cucunya di Bab al-Aziziyah, foto yang disiarkan kelmarin disusuli kenyataan pemimpin itu yang menafikan lari ke Niger.
Bekas pemimpin untung lebih RM3 bilion, nafi rancang lari ke Niger
TRIPOLI: Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menjual lebih 20 peratus rizab emas Libya, bernilai lebih AS$1 bilion (RM3 bilion), sebelum lari daripada ditahan pemerintah baru.
Gabenor Bank Pusat Libya, Qassem Azzoz, ketika mendedahkannya berkata, jongkong emas bernilai 1.7 bilion dinar (RM4.18 bilion) atau kira-kira 29 tan, dijual kepada pedagang tempatan ketika rejim kekurangan wang tunai.
“Emas itu dicairkan bagi membayar gaji dan mempunyai pembeli, terutama di Tripoli,” kata Azzozz.
Menurut pegawai bank pusat, emas itu kemungkinan dibawa keluar ke negara jiran Tunisia atau negara berdekatan.
Azzoz menambah, aset keseluruhan bank itu kini kekal kira-kira AS$115 bilion (RM344.14 bilion) dan AS$90 bilion (RM269.33 bilion) daripadanya berada di luar negara.
Sementara itu, Gaddafi menyelar laporan dia lari ke Niger, menyifatkannya ‘perang psikologi dan penipuan,’ sambil berazam untuk mengalahkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan ‘tikus’ yang memimpin Libya.
Kepemimpinan baru Libya yang dikemudi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) dan Amerika Syarikat menggesa negara jiran menutup sempadan mereka kepada anggota rejim Gaddafi.
Tetapi, dalam ucapan pertamanya selepas beberapa lama, bekas pemimpin itu enggan mengaku kalah dan memberitahu rakyatnya: “Mereka tiada cara lain kecuali melakukan perang psikologi dan menipu.”
Bercakap menerusi telefon di saluran televisyen Arrai Oruba berpusat di Damsyik, beliau menambah: “Mereka kali terakhir berkata, Gaddafi dilihat dalam satu konvoi menghala ke Niger. Mereka mahu lemahkan semangat kami. Jangan bazirkan masa terhadap musuh yang lemah itu.”
Gaddafi juga berkata, NATO yang melakukan serangan udara setiap hari ke atas tenteranya sejak 31 Mac lalu mengikut satu mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ‘akan dikalahkan’ kerana ‘kapasiti logistik tidak akan benarkannya’ untuk terus menyerang.
“Kami sedia di Tripoli dan di mana saja untuk memperhebat serangan ke atas tikus, tentera upahan, yang juga sekumpulan anjing,” katanya.
Sejak kompleks pentadbirannya di sini ditawan pada 23 Ogos lalu, Gaddafi membuat beberapa rayuan tentangan dalam pita disiar Arrai, yang dikendalikan bekas Ahli Parlimen Sunnah, Iraq Mishan al-Juburi.
Mishan mendakwa satu-satunya personaliti media yang berupaya menghubungi Gaddafi sejak bersembunyi selepas NTC mengambil alih ibu negara dan berkata bekas pemimpin dan anak lelakinya, Saif al-Islam masih berada di Libya.
“Saya boleh beritahu anda saya bercakap dengan Gaddafi baru-baru ini. Dia ada di Libya, dalam keadaan bersemangat, kuat, tidak takut dan gembira jika mati berjuang terhadap penjajah.
“Anak lelakinya, Saif berada dalam pemikiran sama,” tambah Mishan yang salurannya menyiarkan mesej audio Gaddafi. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan