11 September 2011

MP Mahu Status IWK Dibentang Di Parlimen Bulan Hadapan

13 Syawal 1432H. [MOD] -



SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepatutnya membentangkan hal yang berkaitan kepentingan awam melalui saluran yang betul seperti sidang parlimen dan bukannya diketahui melalui "sumber-sumber" tertentu dalam kementerian.

Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, status sebenar syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) yang pernah diselamatkan oleh kerajaan menggunakan duit rakyat sebelum ini, hakikatnya memerlukan penelitian yang serius memandangkan ia pernah merugikan dana awam.

"Saya amat kecewa dengan ketidaktelusan urus tadbir negara seperti IWK ini yang kita tahu pernah diselamatkan kerajaan dengan RM 700 juta dibayar dulu dan hutang sekarang ni RM 1.5 Billion. Jadi kami minta bentang perkara ini ke parlimen, jangan cakap belakang," kata beliau kepada TV Selangor hari ini.

Dr Dzul mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam yang memberitahu bahawa pusat akan menggabungkan IWK dengan sebuah unit kerajaan atas keputusan yang dibuat oleh Majlis Ekonomi Kebangsaan baru-baru ini.

Bagaimana identiti unit tersebut tidak didedahkan Husni.

Terdahulu, portal The Malaysian Insider yang memetik sumber dalamannya melaporkan, IWK akan diswastakan dalam waktu terdekat dan bakal diambil alih oleh sebuah syarikat agensi pelaburan strategik 1MDB.

Difahamkan konsortium yang akan diketuai oleh 1MDB itu turut membabitkan Puncak Niaga.

Pada 2000, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad membayar hampir RM200 juta untuk memiliknegarakan IWK demi menjaga kepentingan awam dan mengelakkan gangguan perkhidmatan.

Langkah itu diambil untuk menangani masalah hutang syarikat tersebut ketika itu dianggarkan RM700 juta.

Malah, rancangan baru kerajaan pentadbiran Najib ini dilihat kemungkinan mencetuskan kritikan yang sama kerana ia membabitkan 1MDB dan Puncak Niaga, sebuah syarikat yang berhubung kait secara politik dengan Putrajaya.

Justeru Dr Dzul yang juga ahli majlis pimpinan PAS pusat menyatakan betapa dolak-dalik kerajaan Umno-BN ini merupakan perkara biasa menjelang pilihan raya umum.

"Satu perangai saya tengok dekat pilihan raya ini,(pusat) suka cakap berbelit. Contohnya macam 6 peratus prepaid, dia kata Telco buat. Cukai ini bukan Telco tapi kerajaan. Dalam kes IWK ini, kita dengar mengenai 1MDB dan Puncak Niaga dari sumber dalaman, bukan kita reka cerita.

"Ringkasnya, saya kata tak boleh percaya apa. Tampil ke depan, cadangkan dan bentangkan di parlimen. Jangan cuba-cuba sahaja," tegas Dr Dzul lagi.

Tiada ulasan: