IPOH, 10 Sept: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak menyifatkan Wacana Merdeka yang dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) semalam gagal menjelaskan tajuk asal perbincangan mengenai tragedi Balai Polis Bukit Kepong: Siapa wira sebenar.
Malah, kata Ketua Penerangan PAS negeri, Ahmad Nuri al-Amin berkata pentas wacana tersebut lebih menjadi medan mencetuskan polemik baru yang menyanggah fakta besar yang telah diterima pakai selama 54 tahun dengan menafikan sejarah kemerdekaan negara.
Katanya, penafian terhadap kemerdekaan negara pada tahun 1957 itu lahir dari fakta yang disebut berulang kali oleh para panelis wacana bahawa Tanah Melayu langsung tidak pernah dijajah oleh British, suatu kenyataan yang tidak disiarkan oleh media massa perdana yang dikuasai kerajaan.
Malah, menurutnya bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar juga menggambarkan bahawa penubuhan Umno pada tahun 1946 bukan untuk mendapatkan kemerdekaan negara tetapi hanya untuk memastikan bahawa Tanah Melayu dikembalikan kepada pemerintahan dahulu.
Tambahnya, manakala penekanan Tun Hanif berkaitan tragedi Bukit Kepong hanya mengisyithar bahawa kematian pasukan polis sebagai wira walaupun tidak menafikan polis ketika itu di bawah pemerintahan British.
Katanya, nama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sering menjadi sebutan Tun Hanif semalam sepatutnya turut dijemput pihak IDR bagi menjelaskan isu berkaitan Ahmad Indera @ Mat Indera.
“Jika ianya diadili sebaiknya, wacana tersebut perlu dihadiri juga oleh Haji Mohamad untuk memperkatakan perkara tersebut.
“Sesungguhnya hasil wacana semalam telah menimbulkan lebih banyak kekeliruan dari menjelaskan keadaan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
Soalnya, bagaimana status pejuang-pejuang Melayu Perak seperti Datuk Maharaja Lela Pandak Lam yang dihukum buang negeri dan pejuang-pejuang Melayu lain yang terbunuh ketika dikatakan menentang British.
Katanya, jika Tanah Melayu tidak dijajah, siapakah yang mereka tentang dan siapakah pula yang menghukum dan membunuh mereka.
“Adakah ini angkara Melayu gunakan British untuk menentang dan membunuh sesama Melayu?” soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan