Kebangkitan rakyat Syria menentang kezaliman rejim Bashar Al-Assad ternyata menjadi episod derita yang berlarutan hingga ke hari ini, tatkala kebangkitan umat sebangsa mereka di negara-negara jiran berjaya mencapai hasil yang didambakan. Bermula sebagai rayuan membebaskan tahanan politik oleh ahli keluarga mereka yang terbabit, desakan menghapuskan undang-undang darurat ala-ala Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia dan seruan kebebasan berpolitik sejak 16 Mac awal tahun ini, rakyat bertukar angin apabila mula tekad menuntut pertukaran kerajaan setelah tuntutan-tuntutan awal ibarat menggertak dinding batu - buat kering tekak, tapi dinding tidak bergerak.
Saya yang kebetulan terperangkap dalam cetusan demonstrasi pertama tanggal 18 Mac di Masjid Umawi berdekatan Souq Hamidi, tatkala demonstran cuba mengheret Syeikh Ramadhan Buti yang menyampaikan khutbah untuk bersama-sama kelompok mereka sebelum disuraikan secara ganas oleh mukhabbarat rejim, sehinggalah ke tragedi mutakhir Lailatul Qadar Berdarah Ramadhan lalu, di antara dua titik peristiwa besar itu, memerhatikan bahawa graf kebangkitan rakyat khususnya di Dimashq, yang menjadi prioriti penulisan ini, di tahap mendatar.
Selain beberapa keypoint events yang mencuri perhatian dunia, misalnya penangkapan sekelompok remaja yang menconteng graffiti anti-kerajaan di dinding bandar Dara’a, bermulanya kemasukan tentera di sana tanggal 25 April, pembunuhan dan penyeksaan syahid kanak-kanak Hamzah Al-Khateeb pada 29 April, kepungan dan serangan ketenteraan ke atas penduduk Jisr Al-Shoghour tanggal 12 Jun yang menyebabkan 12,000 rakyat Syria lari ke Turki, selain tiga ‘ucapan janji kosong’ Presiden Bashar Al-Assad kepada rakyatnya dan siri sekatan ekonomi dan ancaman ke atas Syria daripada negara-negara luar, tidak ada tanda-tanda sejarah baru akan terukir dengan mudah dalam masa terdekat.
Berita kematian dan tunjuk perasaan yang disiarkan setiap hari berlaku di beberapa bandar seperti Dara’a, Homs dan Hama tidak dinafikan agak merungsingkan, tetapi bagi menilai isu secara tepat dan adil, lokasi kejadian yang terlalu jauh tidak menjadi ancaman kepada pelajar Malaysia yang kesemuanya berada di Dimashq, sebagaimana rakyat di Pahang dan Perak tidak terusik oleh perang saudara di Selatan Thailand.
Kajian dan analisa terhadap referendum yang dilakukan oleh Security Action Force (SAF), badan yang ditubuhkan khas oleh Persatuan Pelajar Malaysia di Syria (PPMS) untuk memantau tahap keselamatan pelajar, mendapati bahawa tidak ada seorang pelajar pun yang pernah diancam sejak revolusi bermula awal tahun ini. Pada masa sama, pungutan pendapat pihak berautoriti samada daripada kerajaan, pimpinan masyarakat tempatan, masyayikh dan pihak pengurusan universiti, meletakkan situasi di Dimashq dalam keadaan stabil. Malah lima tanda aras bahaya yang akan menyebabkan berlakunya evakuasi, antaranya berlaku tembak-menembak antara dua pihak di dalam bandar dan kedutaan negara-negara besar ditutup seperti yang ditetapkan oleh kedutaan sendiri awal tahun ini, belum pun berlaku.
Pelajar mampu berulang-alik ke kuliah setiap hari dengan selamat, menduduki peperiksaan, mengadakan dan menerima jemputan ke rumah terbuka sempena Hari Raya Aidil Fitri setiap hari, malah masih boleh mengadakan majlis perkahwinan di sini. Dalam krisis kewangan yang berlaku, ternyata pelajar bijak mencari jalan keluar - sambil memohon cadangan penyelesaian daripada kedutaan - tanpa ada yang mati kebuluran dan merayu pertolongan ke sana ke mari seperti digembar-gemburkan media.
Justeru kami berasa terkejut tatkala Kementerian Luar mengumumkan proses evakuasi pertengahan September ini dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 7 September lepas. Tindakan yang dianggap terburu-buru dan drastik itu, dilihat sebagai tindakan populis untuk menunjukkan betapa kerajaan mengambil berat keadaan pelajar dan mendengar kehendak penjaga di Malaysia yang dukacita dihidangkan dengan maklumat yang tidak tepat, selain hasil tekanan media yang tidak putus menggambarkan seolah-olah pelajar Malaysia di sini berada di ambang kematian. Tidak mengambil pengajaran daripada insiden serupa di Mesir, kerajaan terjelopok ke lubang yang sama untuk kali kedua.
Kami menggesa kerajaan, supaya menghormati keputusan dan tidak mengabaikan keadaan pelajar yang baru mendaftar untuk sesi baru kemasukan ke universiti di sini atau berada di hujung pengajian, dan memilih untuk kekal di Syria bagi meneruskan pengajian dan tidak pulang ke tanahair.
Sungguh, tidak ada yang akan membuatkan kami lebih bahagia daripada dapat pulang ke tanahair dengan tiket 'percuma' untuk menumbangkan pemerintah yang zalim dan menegakkan Islam di segenap ruang yang kami jejaki, tetapi buat masa ini kami sanggup menangguhkan kebahagiaan tersebut demi untuk tidak pulang dengan tangan kosong.
Kepada ibu bapa dan penjaga pelajar yang telah memilih kekal, tingkatkanlah tawakkal dan keyakinan kepada Allah. Anak-anak kalian, manifestasi ilmu dan iman yang bukan sahaja dipelajari malah cuba diamalkan. Bagi yang pulang, tunaikanlah hak kepada masyarakat, kerana tiket 'percuma' tersebut, hakikatnya adalah hasil cukai daripada titik peluh mereka.
Kerajaan boleh memilih untuk menari mengikut paluan gendang sesiapapun, tetapi kami pelajar yang celik mata hati dan peka terhadap perkembangan semasa, memilih untuk terus thabat berpijak di bumi nyata.
Pelajar Malaysia di Syria
Tiada ulasan:
Catat Ulasan