18 Syawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 16 Sept: Negara memerlukan akta yang menghalang kerajaan dari menzalimi rakyat dan bukan sekadar penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Malah beliau melihat pengumuman penghapusan ISA adalah usaha terdesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulihkan popularitinya yang merudum.
"Najib tertekan dan terkesan dengan tuntutan kuasa rakyat yang antara lain menuntut penghapusan ISA dan dalam keadaan terdesak ketika popularitinya merudum, beliau menyangka pengumuman penghapusan ISA adalah penawar kepada tekanan yang dihadapinya.
"Langkah drastik untuk mencari populariti itu bukan sahaja tidak akan memulihkan imejnya yang makin merudum malah mungkin menyebabkan Najib makin tidak popular di dalam Umno kerana ISA selama ini sentiasa menjadi talian hayat dan alat Umno untuk mempertahankan kuasanya," katanya.
Mahfuz juga menyifatkan langkah Najib itu membuktikan betapa terdesaknya beliau untuk terus berkuasa.
"Najib nampaknya sanggup melakukan apa sahaja dalam usahanya untuk membuktikan kepada musuh-musuhnya di dalam Umno bahawa beliau boleh kembali popular di kalangan rakyat seperti sebelum ini sehingga sanggup menghapuskan 'tangkal azimat' serta 'khurafat' Umno untuk terus berkuasa iaitu ISA," katanya.
Walaupun tidak teruja dengan pengumuman Najib itu, Ahli Parlimen Pokok Sena yang pernah ditahan di bwah ISA itu tetap menganggap pengumuman Najib itu sebagai kemenangan kuasa rakyat yang menuntut penghapusan ISA.
"Tahniah kepada rakyat dan Gerakan Mansuhkan ISA kerana ia tetap satu kemenangan apabila Najib sudah ke peringkat menyangka penghapusan ISA adalah penawar dan ubat kepada masalah imejnya yang merosot dan merudum kini," katanya.
Namun, Mahfuz yakin rakyat tetap tidak lupa betapa bengisnya Umno mempertahankan ISA yang menjadi selama ini merupakan alat mempertahankan kuasanya.
"Rakyat yang menentang ISA bukan sahaja difitnahkan oleh para pemimpin dan media Umno malah pihak polis diperalatkan untuk mengganasi mereka yang berhimpun secara aman untuk menentang ISA seperti yang berlaku dalam perhimpunan aman menentang ISA pada 1 Ogos 2009 lalu," katanya.
Sebab itulah, kata Mahfuz lagi, kerajaan bukan sahaja mesti membebaskan semua tahanan ISA, membayar ganti rugi dan memohon maaf kepada semua yang pernah menjadi mangsa ISA, malah kerajan juga mesti memohon maaf kepada rakyat yang diganasi dan difitnahkan secara tidak bertamadun kerana menuntut penghapusan ISA termasuk mereka yang diganasi dan difitnahkan ketika berhimpun secara aman dalam himpunan 1 Ogos 2009 itu.
Bukan setakat itu sahaja, kata beliau, kerajaan juga hendaklah memastikan pemansuhan total undang-undang yang memberi kuasa kepada menteri untuk menahan tanpa bicara.
"Jika menteri masih diberi kuasa untuk menahan tanpa bicara, ia terdedah kepada manipulasi, penyalahgunaan kuasa dan menjadi alat memangsakan musuh-musuh politik kerajaan yang berkuasa.
"ISA dahulu pun diakwa digubal untuk menghadapi ancaman pengganas komunis tetapi akhirnya digunakan berkali-kali ke atas pembangkang yang dilihat mengancam kuasa Umno," kata Mahfuz.
Beliau juga mempersoalkan apa perlunya kuasa menahan tanpa bicara jika kerajaan berlaku adil dan tidak menyalahgunakan kuasa.
"Kemunculan pengganas dan teroris boleh dikurangkan dan tidak akan berleluasa jika kerajaan berusaha untuk memaksimumkan keadilan dan tidak menyalahgunakan kuasa.
"Tetapi, jika perjalanan dan pengendalian pilihan raya pun tidak bersih dan tidak adil, tidak ada jaminan teroris tidak akan wujud dan tidak ada gunanya akta yang menghalalkan penahanan tanpa bicara untuk menggantikan ISA kononnya untuk menghadapi teroris," katanya.
Beliau menggesa rakyat terus berjuang menuntut penghapusan apa jua undang-undang yang menghalalkan menteri bertindak sesuka hati menahan tanpa bicara.
"Bukan akta seperti itu yang boleh menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam tetapi yang diperlukan oleh negara ini ialah undang-undang yang menghalang kerajaan menzalimi rakyat kerana yang lebih banyak menzalimi rakyat negara ini bukannya pengganas atau teroris tetapi kerajaan sendiri," tegas Mahfuz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan