02 September 2011

Pemimpin PAS sangkal laporan The Star

4 Syuawal 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Sept: Para pemimpin PAS hari ini menyangkal laporan akhbar milik MCA, The Star hari ini yang melaporkan parti sedang mengorak langkah bagi menggantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dikatakan tidak sihat akibat serangan sakit jantung, bulan lalu.

Ketika dihubungi Harakahdaily, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata mereka langsung tidak tahu-menahu mengenai isu tersebut, malah perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di dalam mana-mana mesyuarat.

PAS, kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan ringkas hari ini menafikan ada usaha untuk menukarkan Menteri Besar Kedah saebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar The Star.

“Bahkan perkara ini tidak pernah dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat tertinggi parti, samada dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian atau Mesyuarat Lujnah Politik parti. Sekiranya ada perkara penting sebagaimana yang dilaporkan, tentulah ia akan dibawa dalam mesyuarat penting parti,” terang beliau.

Tuan Ibrahim turut menyifatkan berita tersebut sebagai salah satu usaha melaga-lagakan kepimpinan PAS oleh pihak-pihak tertentu, kerana melihat perpaduan yang kukuh dalam PAS.

“Menjelang pilihanraya umum akan banyak isu yang sengaja ditimbulkan oleh musuh bahkan akan ada pula perisytiharan keluar parti beramai-ramai sebagai petanda pilihanraya umum bertambah hampir. Saya menyeru seluruh ahli dan penyokong Pakatan Rakyat agar mendapatkan maklumat parti melalu saluran rasmi parti, agar kita tidak terperangkap dengan mainan musuh,” nasihat beliau.

Laporan Star hari ini bertajuk Azizan resists PAS leadership’s moves to replace him (Azizan menentang usaha pimpinan PAS untuk menggantikan beliau) nukilan Joceline Tan memetik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai berkata ada usaha yang mahukan beliau berundur.

“Mereka beritahu saya, kami mahu awak berehat. Kami mahu gunakan tenaga dan kemahiran awak kemudian hari nanti. Saya ok, tetapi ada orang yang tidak mahu saya berada di sana lagi, ada yang mahu saya mati,” kata Azizan yang dipetik akhbar itu.

“Saya tidak ada rancangan untuk mengambil sebarang cuti sebab ada lagi banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Saya sedang memikirkan tentang bajet negeri bulan depan dan juga persiapan untuk Sultan kita, yang bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong,” akhbar itu memetik Azizan sebagai berkata lagi.

Sementara itu, akhbar tersebut juga menamakan tiga Adun Pas yang disebut-sebut bakal menggantikan Azizan iaitu Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul (Tokai). Semua mereka adalah juga ahli exco kerajaan negeri.

Perlembagaan negeri Kedah tidak memperuntukkan jawatan timbalan menteri besar.

Menurut akhbar tersebut, sumber dari dalam PAS Kedah turut memberitahu bahawa parti sedang menyiapkan laporan mengenai kesihatan Azizan untuk dipersembahkan ke Istana dan juga Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena lawatannya ke negeri tersebut minggu ini.

Tanpa menamakan siapa, laman portal The Malaysian Insider melaporkan bahawa pembantu Abdul Hadi telah mengesahkan bahawa beliau akan bertandang ke Kedah hujung minggu ini.

Laman tersebut turut melaporkan reaksi spontan Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul yang berkata beliau diberitahu oleh seseorang bahawa terdapat laporan sampah mengenai pentadbiran Kedah.

“Saya tidak tahu. Saya tidak pernah berjumpa dengan sesiapa dua hari lepas kerana Hari Raya. Tapi hari ini, ada seseorang itu memberitahu saya terdapat sampah di dalam suratkhabar. Nampaknya saya kena berbincang dengan rakan sekerja saya mengenai ini,” kata beliau.

Beliau turut menambah situasi Azizan adalah OK – hanya kekadang beliau menjadi letih dan doktor tidak membenarkan terlalu banyak pelawat kerana ia akan membuatkan beliau terasa stress and penat.

“Namun, ada orang yang melawat beliau pukul 2 dan 3 pagi,” kata beliau.

Laman TMI turut memetik kata Amiruddin yang menyatakan beliau terkejut dengan berita tersebut, dan menyatakan bahawa beliau tidak sedar bahawa ada rancangan perubahan kepimpinan di Kedah.

“Jadi saya tak tahu mana berita ini datang… anda perlu semak dengan penulis,” kata beliau, sambil menekankan bahawa sokongan terhadap Azizan adalah kuat, dan tidak menafikan bahawa berita tersebut mungkin bertujuan untuk memecahkan perpaduan utuh PAS Kedah.

Sementara itu, Phahrolrazi, lapor TMI tidak mahu memberikan sebarang komen dalam isu ini kerana nama beliau terpalit dalam laporan akhbar tersebut sebagai pengganti Azizan.



Tiada ulasan: