02 September 2011

Presiden PAS nafi suruh Azizan letak jawatan

4 Syawal 1432H. [MOD] -
Aziz Muda

KUALA TERENGGANU, 2 Sept: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau dan pimpinan PAS Pusat menyuruh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meletakkan jawatannya.

Menurut beliau, tada desakan baik daripada beliau atau mana-mana pimpinan PAS Pusat supaya Azizan meletakkan jawatannya.

"Ustaz Azizan terus kekal sebagai Menteri Besar. Namun buat masa ini beliau masih berehat disebabkan masih dalam rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang mengatakan beliau dan pimpinan PAS Pusat meminta Datuk Seri Azizan meletakkan jawatan atau berhenti berkhidmat sebagai Menteri Besar.

Selain The Star, dakwaan tersebut turut dilaporkan bebertapa portal berita, sehingga ia menjadi tanda tanya pelbagai pihak terutama mengenai kesahihannya.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini, berkata perkara itu telah dirujuk kepada Abdul Hadi dan Abdul Hadi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Sebaliknya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut hairan bagaimana dakwaan itu muncul, sedangkan beliau dan pimpinan PAS Pusat tidak pun mendesak Azizan berbuat demikian.

"Jadi dengan itu ditegaskan, Presiden PAS menafikan perkara tersebut. Ustaz Azizan tidak pun didesak atau dinasihat pimpinan pusat khususnya Presiden PAS supaya meletakkan jawatan atau berhenti berkhidmat sebagai Menteri Besar.

"Tiada desakan baik daripada Presiden atau mana-mana pimpinan pusat supaya Ustaz Azizan meletakkan jawatan," tegasnya.HD/-

Sebaliknya, tegas beliau, Presiden PAS memaklumkan bahawa Ustaz Azizan terus kekal sebagai Menteri Besar Kedah, tetapi masih berehat buat masa ini disebabkan masih dalam rawatan.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya orang ramai tidak terpengaruh dengan laporan tersebut kerana ia jelas tidak berasas.


Tiada ulasan: