Nazri Abdullah
|
SERDANG, 4 Sept: Lebih 1,000 orang hadir di kediaman keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor di Taman Serdang Raya di sini bagi memberi penghormatan terakhir kepada jurukamera BernamaTV itu yang maut akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia. Mereka terdiri dari anggota keluarga terdekat, jiran-jiran, pemimpin masyarakat, serta sahabat handai yang mengenali Allahyarham khususnya di kalangan warga media. Turut berkongsi rasa kehilangan Allahyarham termasuk pimpinan PAS Serdang yang turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham. "Bagi pihak PAS Serdang, kami melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga atas pemergian Allahyarham Noramfaizul. "Kami doakan semoga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh dan kepada anggota keluarga diharap bersabar dengan ujian ini," kata Yang Dipertua PAS Serdang, Shafie Ngah. Selain beliau, turut serta menziarah jenazah di sini adalah Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar. Sementara itu jenazah Noramfaizul yang dibawa menaiki van jenazah dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, tiba dikediaman keluarganya di sini kira-kira jam 12.20 tengahari tadi bagi diberi penghormatan terakhir. Jenazah Allahyarhan kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Al-Islah Serdang Jaya sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Universiti Putra Malaysia (UPM). Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibawa pulang menaiki pesawat C-130 TUDM tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jam 10 pagi tadi dan dibawa ke Masjid TUDM untuk disolatkan. Dalam kejadian pada Jumaat itu, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan. Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, cedera di lengan. |
Harakahdaily/-
1 ulasan:
ucapan takziah untuk orang yang dah meninggal ke?ish...pelik2 la orang zaman sekarang...mamai ke apa?
Catat Ulasan