31 Oktober 2011

Facebook Pro-M UIAM digodam

3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -


GOMBAK, 31 Okt: Akaun facebook milik Pro-Mahasiswa (WUFI) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kejadian itu telah disedari oleh salah seorang anggota kumpulan yang berjuang bagi menegakkan hak-hak mahasiswa di UIAM, petang semalam.

Menurut Pengerusi WUFI UIAM, Muhammad Hafizuddin, motif sebenar penggodaman tersebut disyaki untuk menyekat kebangkitan mahasiswa dan cuba untuk memecah belahkan gerakan mahasiswa.

Tambahnya, tindakan itu dilihat mahu memberi tekanan kepada Pro-M daripada terus memperjuangkan isu Prof Abd Aziz Bari.

"Kami tetap serius dan istiqamah dalam memperjuangkan isu kebebasan akademik walau apa ancaman sekalipun yang pihak kami terima.

“Kami berharap mahasiswa dan masyarakat seluruhnya tidak termakan dengan sebarang provokasi dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga dipercayai ada kaitan dengan 'tangan jahat' yang sering mengganggu bermula daripada isu Ustaz Azhar Idrus, penafian Presiden MPP dalam rancangan Hujah TV9 dan Prof Abd Aziz Bari.

Ugut Aziz Bari

Dalam masa yang sama, ujarnya berita penghantaran peluru ke rumah Prof Aziz agak mengejutkan mahasiswa UIAM khususnya.

Katanya, tindakan sedemikian sangat bercanggah dengan norma kehidupan manusia.

Menurutnya, mahasiswa UIAM tetap menyokong sepenuhnya perjuangan kebebasan akademik yang dibawa oleh Prof Aziz.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menghantar peluru tersebut seolah-olah mahu menakutkan Prof Aziz dalam masa ini," katanya.

Sehingga hari ini, pihak UIAM masih belum mengeluarkan sebarang respons selepas menarik balik penggantungan terhadap Prof Abd Aziz Bari.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: