ROME – Mayat pelumba MotoGP, Marco Simonceli yang terbabit dalam kemalangan maut pada Grand Prix Malaysia pada Ahad lalu selamat tiba ke Itali, semalam.
Turut mengiringi mayat Simoncelli di Lapangan Terbang Leonardo Da Vinci ialah ayahnya, Paolo dan rakan senegara, Valentino Rossi sambil disambut oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Itali, Giovanni Petrucci.
Mengikut perancangan, mayat Simoncelli akan dihantar ke tempat asalnya, Coriano sebelum disemadikan esok.
Kematian Simoncelli berpunca daripada hentakan kuat di dada, kepala dan leher apabila gagal mengawal jentera motosikal Honda dan terseret ke tengah trek.
Colin Edwards yang berada di belakang Simoncelli gagal mengelak motosikal pelumba muda Itali itu dan melanggar Simoncelli.
Juara dunia tujuh kali, Rossi yang merupakan rakan baik kepada Simoncelli berkata: ‘‘Marco adalah seorang bintang dan saya sama sekali tidak akan melupakannya.
‘‘Terlalu banyak memori saya bersamanya. Kami selalu bersama pada setiap hari, berlatih bersama dan berlumba adalah minat kami.
‘‘Kami tahu perkara sebegini boleh terjadi.”
Rossi yang sedang bergelut dengan prestasi bersama Ducati turut menolak akan bersara selepas kemalangan itu. ‘‘Saya tidak kata akan bersara. Ia (laporan) mungkin dibuat oleh mereka yang mahu melariskan surat khabar, ” katanya.
Simnocelli yang berusia 24 tahun dianggap bintang sukan bermotor dalam pembikinan. Dia terkenal dengan identiti berambut kerinting dan menjadi simbol kepada pencinta MotoGP.
Pelumba muda itu memenangi kejuaraan 250cc pada tahun 2008 dan diramal bakal menjadi juara dunia MotoGP pada masa hadapan.
Petrucci meminta setiap perlawanan bola sepak di Itali bertafakur selama seminit pada Ahad lepas dan para pemain memakai lilitan hitam sebagai penghormatan kepada Simoncelli.
‘‘Kami meminta semua orang bertafakur selam seminit sebagai lambang yang kami semua amat menyayanginya, ” kata Petrucci. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan