13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KAHERAH - Seramai 26 terkorban dan sekurang-kurangnya 271 cedera dalam kejadian pertempuran ganas antara penganut Kristian, orang Islam dan pasukan keselamatan, kelmarin sekali gus menjadi keganasan terburuk sejak revolusi kebangkitan rakyat menggulingkan bekas presiden Hosni Mubarak, Februari lalu.
Stesen televisyen tempatan menyiarkan kerajaan kini mengenakan perintah berkurung di kawasan sekitar Kaherah kerana khuatir kekacauan itu akan menjadi lebih buruk.
Dalam satu kenyataan lain, perdana menteri Essam Sharaf menggesa orang ramai terutamanya penganut Kristian dan orang Islam supaya tidak termakan dengan hasutan luar kerana dikhuatiri akan memburukkan lagi keadaan yang semakin meruncing di bandar tersebut.
“Pergolakan terbaru ini adalah satu konspirasi untuk mencetuskan huru-hara dan perbalahan antara kaum,” menurutnya lagi.
Terdahulu, kekacauan tercetus selepas penunjuk perasaan bertempur dengan polis antirusuhan dan askar yang berkawal di luar kawasan bangunan stesen televisyen di Maspero, Kaherah semasa mereka sedang berarak kerana membantah tindakan gabenor Mustafa al-Sayed meruntuhkan sebuah gereja di wilayah Aswan di selatan Mesir.
Seorang saksi mendakwa demonstrasi itu sepatutnya diadakan secara aman tetapi bertukar ganas selepas pasukan keselamatan menyerang mereka secara tiba-tiba.
Mereka bertindak membalas serangan tersebut dengan membaling batu batu dan membakar kenderaan milik tentera serta orang awam.
Insiden itu membuktikan walaupun selepas Mubarak digulingkan, penganut Kristian masih tidak berpuas hati dengan pemerintah tentera yang didakwa tidak mengambil tindakan tegas berhubung isu perkauman dan kejadian siri serangan terhadap mereka.
Sebagai langkah berjaga-jaga, satu mesyuarat Kabinet tergempar diadakan, semalam selepas 40 suspek ditahan bagi membincangkan krisis tersebut yang mungkin merebak menjadi perang saudara.
Dalam satu kejadian Mac lalu, 13 terbunuh dalam rusuhan kaum di sekitar kejiranan Manshiyet Nasser selepas penganut Kristian berang kerana sebuah gereja di kampung Sol di selatan Kaherah diserang pihak tidak bertanggungjawab.
sianr harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan