11 Oktober 2011

Bajet: Tiada jaminan kesejahteraan wanita muda

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Isu-isu utama berkaitan golongan wanita muda seperti isu keselamatan dan perkahwinan tidak dibincangkan secara serius dalam Bajet 2012.

Pengerusi Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Fareedah Samad berkata, kelangsungan generasi amat penting.

Justeru, katanya usaha dan langkah-langkah yang dapat membantu generasi muda membina rumahtangga adalah langkah bijak memandangkan masalah kebejatan sosial yang semakin meruncing.

“Bahkan penekanan kepada kehidupan berkeluarga akan mengembalikan dan memartabatkan institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tunjang utama kepada masa depan negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya kerana institusi kekeluargaan merupakan agen sosialisasi yang paling efektif.

Selain itu juga, katanya kehidupan berkeluarga merupakan gaya hidup yang sihat melalui keseimbangan spiritual, emosi dan fizikal.

Menurutnya, statistik perceraian yang menunjukkan peningkatan saban tahun, di mana kajian menunjukkan setiap 15 minit terdapat satu pasangan bercerai di mana jumlah keseluruhan kadar perceraian pada akhir 2010 adalah melebihi 22,000 pasangan.

Hal ini, jelasnya sangat-sangat membimbangkan memandangkan faktor utama kebejatan sosial di negara kita disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Kami mencadangkan peruntukan diberikan agar yuran percuma untuk kursus perkahwinan dan silibus kursus perkahwinan perlu disemak semula dengan memasukkan elemen kemahiran keibubapaan dan perancangan kewangan,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, kata beliau Bajet 2012 dilihat hanya melayan kehendak golongan tertentu tanpa mempertimbangkan masalah yang lebih besar dan lebih utama.

Menurutnya, banyak lagi persoalan anak muda yang tidak dijawab seperti masalah pengangguran dan pinjaman PTPTN yang tidak berkesudahan.

Tambahnya, usaha serius kerajaan untuk mengekang defisit juga tidak diperinci dengan jelas.

Justeru, katanya Ameerah yang tentunya fokus kepada kebajikan dan keselamatan golongan wanita muda di negara ini, menyeru kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam merangka perbelanjaan negara.

Menurutnya lagi, sehingga 19 Mei 2011, kejadian rogol di Malaysia boleh dikatakan 1 kes setiap 2.5 jam di mana purata 10 wanita menjadi mangsa rogol setiap hari.

Katanya, peningkatan kes rogol diperlihat saban tahun sehingga akhir 2010 sebanyak 3,595 kes dicatatkan.

“Hal yang lebih membimbangkan, 70% daripada mangsa adalah gadis di bawah umur 18 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, menurut Nationmaster yang mengkaji kes rogol di seluruh dunia, Malaysia masih lemah dalam menangani kes-kes rogol yang berlaku dalam negara kita.

Ujar belau, mungkin sebagai sebuah negara Islam yang kita bangga, berada pada tangga 38 bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan. 0.0505156 per 1,000 rakyat bermakna dalam 1 juta rakyat malaysia 50 – 51 orang yang dirogol dicatatkan.

“Perangkaan ini diikut rapat dengan statistik kes ragut dan bunuh di mana lebih 52% melibatkan golongan wanita,” katanya lagi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: