14 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Cadangan kerajaan negeri Melaka untuk membina sebuah taman burung di Taman Botanikal Melaka dikhuatiri akan menjejaskan alam sekitar di kawasan berkenaan, dakwa ADUN Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong.
Selain itu, katanya projek berkenaan juga, membawa terlalu banyak pembangunan ke kawasan terbabit.
"Mengapa perlu dibina satu tarikan hanya untuk membolehkan peminat burung datang ke Melaka sedangkan Melaka sudah ada satu tarikan cukup popular untuk peminat burung di Tanjung Tuan?
"Apa yang saya risaukan adalah projek ini akan menjadi satu lagi projek gajah putih sebagaimana dibuktikan oleh projek-projek lain kerajaan negeri," katanya.
Wakil rakyat DAP itu juga berkata, pembangunan pesat di kawasan Taman Botanikal berpotensi memberi kesan kepada faktor semula jadi, sekaligus menafikan akan kemudahan rekreasi semula jadi yang kian berkurangan di negeri ini.
Menurutnya, keghairan kerajaan negeri membangunkan kemudahan itu jelas menunjukkan ia lebih mementingkan pelancong semata-mata dan bukannya memikirkan tentang rakyat negeri ini.
Khoo berkata demikian sebagai mengulas kenyataan kerajaan negeri baru-baru ini bahawa sebuah taman burung yang dikatakan terbesar di rantau ini akan dibina di kawasan Taman Botanikal Melaka.
Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya menggunakan peruntukan RM30 juta dari Kementerian Pelancongan bagi memperbaiki dan menaiktaraf tarikan pelancongan sedia ada.
"Saya kesal dengan tindakan menggunakan peruntukan ini untuk membina sebuah tarikan baru dan bukannya menyelenggara apa yang sedia ada. Ini merupakan satu pembaziran," katanya.
Menurut Khoo lagi, tarikan sedia ada seperti kawasan bersejarah mempunyai beberapa masalah yang boleh diselesaikan seperti masalah meletak kenderaan serta kesesakan lalu lintas.
malaysiakini/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan