19 November 2011

Desak bebas pengganas: Benarkah Suhakam tak bertanggungjawab ?

23 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Suruhajaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab apabila mendesak supaya 13 individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Isnin lepas dibebaskan.

Beliau berkata Suhakam tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu tanpa mengetahui tentang latar belakang dan fakta tentang kesemua mereka yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah.

"Membuat kenyataan tanpa mengetahui latar belakang dan fakta, dan hendak membebaskan mereka yang cukup berbahaya itu adalah cukup tidak bertanggungjawab oleh Suhakam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Felda Bukit Tongkat di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Semberong menasihatkan pihak Suhakam supaya berjumpa dengannya terlebih dahulu di mana kementerian bersedia berkongsi maklumat tentang penahanan individu itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam yang menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya membebaskan 13 individu yang ditahan itu.

Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan bahawa ISA dimansuhkan pada sambutan hari Malaysia baru-baru ini.

Tiada ulasan: