28 November 2011

Pemuda PAS Isytihar Nizar sebagai MB Perak

2 Muharram 1433H. [MOD] -
Oleh Muhammad Faeez

PARIT BUNTAR, 27 Nov: Pemuda PAS Perak mengisytiharkan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang ke-12 apabila mendapat mandat daripada rakyat dalam PRU-13 nanti.

Pengistiharan penting tersebut disampaikan oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Ustaz Akmal Kamaruddin semasa mengetuai lafaz ikrar pemuda di Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) di Parit Buntar 27 November lalu.

Beliau berkata, Pemuda PAS akan berdiri teguh dan bersepakat untuk mengangkat kembali Nizar sebagai Menteri Besar selepas beliau ‘digulingkan’ dalam tragedi ‘rampasan kuasa’ Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

“Kami seluruh Pemuda Negeri Perak bersatu hati akan bekerja keras dalam PRU13 nanti bagi mengangkat kembali Dato’ Seri Nizar untuk mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat Perak,” katanya dihadapan ribuan hadirin.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Zawawi Hassan berkata, Pemuda parti tersebut sudah bersiap sedia menghadapi PRU-13.

Katanya, pemuda akan direalisasikan sebagai elemen penggerak terpenting dan penentu kemenangan dalam PRU13 nanti.

Jentera Pemuda tekad dan iltizam menumbangkan BN dalam PRU13 nanti bagi menghapuskan kezaliman serta menegakkan keadilan di muka atas bumi ini.

“Tragedi ‘rampasan kuasa’ kerajaan yang dipilih rakyat suatu ketika dulu masih terpahat dalam ingatan kami, BN jangan ingat kami dah lupa,” katanya.

Dalam Program tersebut, lebih 7 ribu pemuda daripada seluruh pelusuk negeri Perak telah hadir berhimpun untuk menyatakan kesediaan pemuda.

Himpunan tersebut bertemakan Bersih 2.0 dengan slogan ‘Semarakkan Gelombang Kuning’.

Tema tersebut dipilih bertujuan untuk meneruskan momentum kebangkitan rakyat dalam tuntuan Bersih 2.0 yang mahukan perjalanan pilihanraya adil dan telus.

Antara pemimpin yang hadir termasuklah Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hasan, AJK Pas Pusat Ustaz Idris Ahmad, Bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussien, dan saf kepimpimpinan Pemuda PAS Pusat.

Tiada ulasan: