04 Disember 2011

Isu NFC: Bung Moktar ulang gesa Shahrizat letak jawatan

8 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Sementara rakan-rakannya menolak daripada menyentuh isu kontroversi projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Bung Moktar Radin (gambar) mempertahankan pendiriannya menggesa Ketua Wanita itu meletakkan jawatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini mendakwa isu NFC kini menjadi liabiliti kepada parti. Ahli Parlimen Kinabatangan yang lantang ini juga mengetepikan wujudnya sokongan padu bagi Shahrizat ketika persidangan agung sayap Wanita Rabu lalu.

Katanya: “Kita tidak tahu apa jenis sokongan itu.”

“Ini kerana tiada perwakilan yang dengan jelas menyatakan sokongan, sokongan bagi parti, ya ada, saya tahu,” kata beliau ketika ditemui di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional ini mengaku isu NFC sudah menjadi liabiliti bagi Umno.

“Saya percaya sebab saya adalah penyokong kuat parti,” katanya.

Kata beliau, meskipun Shahrizat telah menjelaskan ketika perhimpunan tetapi apa yang lebih penting ialah persepsi publik.

“Ini bukan persoalan berkenaan penerangan. Saya fikir beliau sudah beri penjelasan.

“Ini bukan persoalan siapa yang salah. Ia adalah persoalan bagaimana publik menerimanya,” kata Bung Moktar lagi.

Bung Moktar berkata menjelang pilihan raya umum, adalah penting Umno tidak dilemahkan oleh skandal-skandal yang dikaitkan dengan mana-mana individu.

“Jadi, saya sudahkan pun menyatakan pendirian saya. Saya meminta beliau mempertimbangkan (keputusan agar letak jawatan)... disebabkan seorang individu, sebahagian terlibat,” kata beliau lagi.

Pertengahan bulan lalu, Bung Moktar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menteri Kabinet yang bertanggungjawab dalam NFC patut meletakkan jawatan.

Perkara itu disebut sekali lalu ketika membahaskan ucapan penggulungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Chor Har berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2012.

“Pendirian saya cukup jelas, macam isu Fidlot, saya memang setuju ini bukan kerja Umno, ini kerja perseorangan. Pada saya orang ini harus bertanggungjawab.

“Kalau saya pada tempat ini, saya letak jawatan, menyusahkan. Dia punya kerja semua musnah. Mana tidak betul, kita kena betulkan.

“Walaupun dia menteri Umno, siapa dia, dia bersalah, letak jawatan lebih baik daripada jadi liabiliti keapda Umno dan Barisan. Kita tegas, sebab kita memerintah negara ini dengan adil,” katanya.

Ketika itu wakil rakyat tersebut tidak menyatakan nama menteri berkenaan di dalam dewan.

Tetapi kemudian Bung Moktar mengesahkan bahawa beliau merujuk kepada Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

themalaysianinsider/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ya rakyat mahu yg bersih.Ibarat mengadap Allah,selain jiwa yg bersih juga pakaian perlu bersih.kalau tak bersih perlu 'dibersihkan' dulu.Demi kejayaan dlm pilihan raya yg mendatang.