10 Disember 2011

Pilihan raya orang Islam setiap hari

14 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.

"Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu.

"Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa.

"Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucaptama di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.

Tok Guru Nik Aziz juga menegaskan, golongan sekular secara tidak sedar sudah menolak separuh daripada ajaran Islam apabila tidak mengutamakan perjuangan melawan syaitan.

"Mengelak diri daripada pujuk rayu syaitan tidak ada dalam ajaran sekular.

"Syaitan, neraka, tak ada dalam pengajian sekular. Oleh yang demikian pada orang yang sudah menjadi sekular, 50 peratus daripada pengajian Islam sudah hilang.

"Pengajian Islam termasuk perkara ghaib iaitu syurga, neraka, dosa, pahala, padang mahsyar. Semua ini tak ada dalam sekular, jadi tak pernah sebut, bila tak pernah sebut mereka lupa," kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 ahli yang hadir.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu juga, untuk memastikan manusia selamat di akhirat kelak, mereka wajib mengikut ajaran Islam yang sebenar, tanpa bercampur dengan ajaran barat yang lain.

"Sekular tak bawa manusia ke syurga. Yang hanya membawa manusia ke syurga ialah Islam.

"Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala Lumpur.

"Samalah dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia," katanya.

Perjuangan PAS adalah jihad

Sementara itu, Tok Guru Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.

Ini kerana tegasnya, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri.

"Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar istilah jihad yang digunakan Umno dalam perhimpunan agungnya baru-baru ini.

Beliau berkata, iistilah jihad itu berasal daripada Al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam.

Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

"Jihad ini istilah Al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?

"Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia," katanya.

Turut bersama, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain.

Ustaz Hadi akan menyampaikan amanat di majlis penutup petang ini.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: