10 Disember 2011

Wakil Rakyat Jangan Mungkir Janji Apabila Terpilih

14 Muharram 1433H. [MOD] -
PAS Miri

Wakil Rakyat Jangan Mungkir Janji Apabila Terpilih
“Kesetiaan penduduk luar bandar terhadap BN tidak boleh dipertikaikan dan perlu dibalas dengan perkhidmatan terbaik oleh wakil rakyat, tegas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Penyerahan Tangki Air Ke Seluruh Sarawak di Pusat Pentadbiran Baharu Mukah, baru-baru ini." Petikan dari kenyataan ketua menteri Sarawak dalam akhbar Utusan Borneo.
 
Ketua Menteri Sarawak mengingatkan wakil rakyat BN (Barisan Nasional) yang terpilih agar sentiasa turun padang dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memilih mereka. Satu peringatan yang cukup baik tetapi sayangnya peringatan tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh wakil rakyat BN yang terpilih maka sebab itulah Sarawak masih mundur dan jauh ketinggalan.
 
Antara beberapa sebab kemunduran Sarawak adalah seperti berikut.
Wakil rakyat yang terpilih jarang sekali mahu turun padang mendengar keluhan dan masalah rakyat.  Sebelum dipilih atau semasa musim pilihanraya mereka selalu turun padang menunjuk muka tetapi setelah menang jarang sekali mahu turun padang mendengar masalah rakyat kecuali ada program yang melibatkan majlis kerajaan bersama rakyat.
 
Wakil rakyat yang dipilih lebih suka aktiviti mereka disiarkan dalam media massa kerajaan kononnya merekalah yang perihatin terhadap masalah rakyat. Kalau tiada liputan media mereka jarang mahu turun padang untuk mendengar keluhan rakyat.
 
Wakil rakyat yang dipilih kebanyakannya lebih pentingkan diri sendiri dan parti mereka dari rakyat yang menyokong mereka.  Mereka lebih utamakan kepentingan peribadi dari kepentingan rakyat. Sepatutnya wakil rakyat yang terpilih tersebut berjuang mempertahankan hak rakyat bukannya memberi kekayaan hanya kepada keluarga dan kroni-kroni mereka saja.

Jika wakil rakyat yang terpilih tersebut benar-benar jujur,ikhlas dan amanah dalam menjalankan tugas mereka sudah pasti Sarawak sudah lama maju kehadapan kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia.
 
Sarawak yang kaya dengan sumber hasil seperti kayu balak, minyak sawit, petroleum dan sebagainya boleh digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan Sarawak tapi sayangnya rakyat Sarawak masih lagi hidup dalam kemiskinan. Kemana perginya hasil sumber asli Sarawak tersebut?
 
Masalah infrastruktur dan kemudahan asas di Sarawak masih jauh ketinggalan dari semananjung Malaysia. Kenapa perkara ini berlaku? Antara sebab perkara ini berlaku adalah ketirisan dalam pengurusan peruntukan yang disalurkan untuk masyarakat luar Bandar dimana masyarakat luar Bandar yang buta huruf dan tidak mendapat maklumat tentang peruntukan tersebut sudah pasti tidak tahu apa yang berlaku dengan peruntukan tersebut digunakan.
 
Sarawak akan maju apabila ditadbir oleh wakil rakyat yang benar-benar jujur,amanah dan tidak melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa mereka terhadap rakyat yang sudah memilih mereka.
 
Wakil rakyat yang terpilih kena ingat siapa mereka sebelum mereka dipilih jadi wakil rakyat atau jadi ketua menteri dan juga jadi menteri, kalau bukan rakyat yang memilih mereka. Janganlah sombong, angkuh dan menyalahgunakan kuasa setelah diangkat jadi pemimpin. Semua ini bersifat sementara saja, jadi gunakan peluang yang ada sekarang untuk berkhidmat untuk rakyat bukan untuk kepentingan peribadi.
 
Pemimpin yang jujur,amanah dan ikhlas berjuang untuk rakyat, jasanya akan terus dikenang walaupun mereka sudah tidak ada lagi tetapi peminpin yang zalim dan menyalahgunakan kuasa,  rakyat akan menghina dan mencaci mereka semasa dan selepas mereka tidak berkuasa lagi.
 
Jadi fikir-fikirlah bagi mereka yang sudah terpilih jadi wakil rakyat agar dapat memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat sebelum semuanya terlambat dan berakhir dengan kehinaan atau kemulian.
 
Apa yang rakyat mahu adalah wakil rakyat yang dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur, ikhlas, amanah dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
 
PAS Miri
Jofri Jaraiee

Tiada ulasan: