01 Januari 2012

Terengganu dilanda banjir kali kedua

7 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU 1 Jan. - Terengganu dilanda banjir kali kedua berikutan hujan lebat dan angin kencang melanda negeri itu sejak malam tadi menyebabkan kebanyakan air sungai melimpah.

Sehingga pukul 11 pagi ini, seramai 428 orang daripada 100 keluarga penduduk di beberapa buah kampung di Besut dan Setiu telah dipindahkan ke pusat pemindahan.

Mengikut portal banjir kerajaan negeri, sehingga kini empat buah pusat pemindahan telah dibuka, masing-masing dua di Besut dan Setiu.

Di Besut, 316 orang daripada 64 keluarga telah ditempatkan di Dewan Serbaguna Apal manakala 29 orang (tujuh keluarga) ditempatkan di Sekolah Bukit Tempurung.

Di Setiu, 73 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di Dewan Rukun Tetangga Guntong dan 10 orang daripada dua keluarga di Balai Raya Desa Jaya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berkata, paras air sungai di Besut dan Setiu mula surut pagi ini setelah melimpah melebihi tebing berikutan hujan lebat malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, paras air sungai Setiu, di Kampung Langkap sehingga pukul 11 pagi ini masih lagi berada di paras bahaya iaitu 22.8 meter berbanding 22.48 meter pada pukul 9 pagi tadi.

Beliau berkata, sesetengah tempat di Besut, paras air sungai berada melebihi paras waspada.

Sementara itu, beberapa acara sambutan tahun baru termasuk Program Kayuhan Ambang Merdeka melibatkan golongan belia dan remaja di negeri ini daripada Stadium Gong Badak ke Dataran Batu Buruk di sini malam tadi terpaksa dibatalkan berikutan hujan lebat.

Kawasan di sekitar Pantai Batu Buruk yang merupakan antara kawasan tumpuan pelancong di negeri ini juga dinaiki air sehingga paras lutut malam tadi, namun air kembali surut pagi ini. — BERNAMA

Tiada ulasan: